Isnin, 26 September 2011

JANGAN ABAI IBU BAPA- TUANKU CANSELOR

PULAU PINANG, 21 Sept – Para graduan dinasihatkan supaya tidak melupakan jasa ibu bapa khususnya setalah mereka mencapai kejayaan dalam kehidupan.
Demikian titah Tuanku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dalam titah baginda sempena pembukaan sidang pertama Upacara Konvokesyen USM ke-44 di sini hari ini.
Baginda bertitah, ibu bapa tidak mengharapkan wang ringgit anak-anak sebaliknya amat gembira jika jasa mereka dalam membesarkan anak-anak dapat dikenang dan dihargai.
``Media sering melaporkan kes-kes yang melibatkan pengabaian terhadap ibu bapa, justeru saya menasihatkan semua anak-anak supya tidak melakukan perkara sama kerana jasa ibu bapa amat besar dalam membesarkan anak-anak.
``Ia tidak boleh dinilai dengan wang ringgit dan tanpa kedua ibu bapa maka kita juga tidak akan wujud di dunia ini,’’ titah beliau di hadapan kira-kira 3000 hadirin termasuk graduan dan tetamu graduan di Dewan Tuanku Syed Putra di sini hari ini.
Baginda turut menitahkan graduan supaya meletakkan fokus dan komitmen yang  tinggi untuk menggabungkan antara minat dan kesungguhan dengan ilmu pengetahuan untuk melakukan perubahan dalam perkara yang dilakukan.
``Anak-anak muda hari ini perlu menguasai dan membangunkan kedua-dua aspek tersebut dalam kehidupan, selain perlu bekerja keras, ikhlas dan mengukuhkan keupayaan diri untuk dihormati dan disegani dalam bidang masing-masing,’’ titah baginda.
Baginda turut melahirkan rasa bangga dengan penganugerahan ijazah kehormat kepada tiga tokoh yang disegani termasuk Doktor Sains kepada Presiden Institut Riken, Jepun merangkap ahli kimia tersohor, Prof. Ryoji Noyori.
Sasterawan Negara, Dato’ Noordin Hassan pula turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan manakala tokoh pemikir agung dalam isu-isu yang berkait rapat dengan dunia Afrika dan anti-kolonialisme, Prof. Dr. Al’Amin Ali Mazrui pula dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah.
Baginda bertitah, walaupun dua daripada penerima (Dato’ Noordin&  Prof. Al’Amin Ali Mazrui) tidak dapat bersama namun aura ilmu yang wujud dalam diri mereka tetap dirasai oleh setiap yang hadir pada upacara akademik tertinggi universiti itu.
``Ketiga-tiga tokoh mempunyai aura ilmu yang hebat dan amat berpengaruh dalam bidang masing-masing. Mereka mempunyai persamaan termasuk dari aspek kesungguhan, minat dan autoriti besar dalam bidang  yang diceburi,’’ titah baginda.
Tuanku Canselor kemudiannya berkenan mencemar duli bagi melancarkan buku bertajuk Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms yang telah diolah dan disusun oleh Claude Alvarez dan Shad Saleem Faruqi.
Claude Alvarez dan Shad Saleem masing-masing ialah aktivis politik dan Penasihat Undang-undang USM.
Sementara itu, upacara akademik tertinggi dalam kalendar universiti itu turut menyaksikan keseluruhan 5590 graduan berijazah, termasuk tiga Ijazah Kehormat, 1134 bagi Ijazah Tinggi, 4356 untuk Ijazah Sarjana Muda manakala 97 lagi menerima diploma melalui usahasama akademik dengan USM.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: