
PULAU PINANG, 1 Mac 2012 – Perdana
Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengirimkan ucapan tahniah
dan syabas kepada sekretariat penganjur Pesta Tahun Baru Cina 2012,
Universiti Sains Malaysia (USM) di atas kejayaan menganjurkan program
itu secara konsisten setiap tahun.
Selain tahniah, PM turut melahirkan rasa
kagum dengan keberanian pengarah projek Pesta Tahun Baru Cina USM 2012,
Chuah Wen Xu yang menghantar jemputan kepada beliau secara peribadi
ketika lawatan rasminya ke Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina Januari
lalu.
Ucapan itu disampaikan melalui Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, yang hadir
meluangkan masa merasmikan sambutan Pesta Tahun Baru Cina yang
berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini semalam.
Tsu Koon pula dalam ucapannya berkata,
para pelajar USM perlu berbangga kerana program yang dianjurkan itu
mencerminkan gagasan 1 Malaysia yang mana semua pihak merayakan
kepelbagaian dan kebudayaan tanpa mengira kaum.
``Kita juga perlu bersyukur dengan
keharmonian yang ada dalam kepelbagaian, dalam masa yang sama keunikan
pada setiap kaum itu menyumbang kepada perpaduan rakyat di negara ini,’’
katanya.

Turut hadir pada program tersebut ialah
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor Hal
Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Prof. Adnan Hussein.
Sementara itu, acara sambutan Pesta
Tahun Baru Cina diadakan di kampus USM pada setiap tahun bagi meraikan
kepelbagaian budaya dalam kalangan siswa-siswi kampus, selain turut
menjadi medan mengukuhkan hubungan baik antara kaum.
Ia turut berperanan sebagai wadah dalam mempopularkan acara sambutan perayaan tempatan kepada pelajar-pelajar antarabangsa USM.
Antara yang mencuri tumpuan pada
penganjuran tahun ini adalah persembahan drum oleh pemain drum cilik
berusia empat tahun, Howard Wong, tarian kebudayaan, pertunjukan silap
mata, nyanyian penyanyi terkenal yang juga pelajar USM, Sun Yi Lin serta
artis profesional, Christopher Lay dan sebagainya.
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan