KUALA NERANG, KEDAH 20 OKTOBER – Sediakan payung sebelum hujan.
Begitulah pepatah yang selalu digunakan dalam mengingatkan kita agar
sentiasa bersedia dan berwaspada tentang sesuatu yang bakal berlaku.
Pepatah ini jugalah yang digunakan Pusat Kelestarian Global (CGSS)
Universiti Sains Malaysia (USM) dalam membantu masyarakat di daerah
Padang Terap, Kedah menghadapi bencana banjir yang acapkali melanda
kawasan tersebut terutamanya pada musim tengkujuh.
Pemangku Pengarah CGSS, Prof.Madya Norizan Md Noor, berkata usaha
yang mula digerakkan pada bulan April 2011 ini bertujuan mengenalpasti
apakah masalah yang dihadapi mereka dan bagaimana USM dapat membantu
mengurangkan kesengsaraan dan ketidakselesaan mangsa-mangsa banjir
tersebut.
‘Hasil daripada kajian mendapati, keperluan yang amat diperlukan
adalah seperti kelengkapan dapur, khemah, bot dan jet wash,’ katanya.
‘Disebabkan itulah, kita telah menubuhkan satu jawatankuasa yang
dikenali sebagai Jawatankuasa Amanah Barangan Bantuan CGSS, USM
(JABB-CGSSUSM) yang terdiri daripada pegawai-pegawai daerah dan
penghulu seluruh daerah Padang Terap yang telah diamanahkan menjaga
kesemua barangan-barangan itu ,’ujarnya.
Selain itu, Norizan menambah antara peranan jawatankuasa tersebut
ialah membantu CGSS mengendalikan beberapa kursus yang melibatkan
penyelenggaraan bot dan latihan seperti menyelamat mangsa lemas dan
kaunseling sebelum dan selepas banjir.
Sementara itu, menurut Dr.Salfarina Abdul Gapor yang merupakan salah
seorang penyelidik yang melakukan kajian tersebut, daerah Padang Terap
dipilih sebagai antara lokasi awal kajian dijalankan adalah kerana
daerah tersebut merupakan antara kawasan yang akan terjejas teruk semasa
musim banjir dan juga kerana pola penduduk di situ yang rata-ratanya
adalah dari golongan ‘bottom billion.‘
‘Dengan usaha dan bantuan yang dihulurkan ini, diharap USM dapat
mengembangkan misi dan visinya yang bukan sekadar sebagai sebuah gedung
ilmu, tetapi sebagai satu institusi yang melahirkan graduan berintipati
kearah kelestarian terhadap komuniti,’ katanya.
Artikel dipetik daripada :
SINI
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia