Nibong Tebal, 18 Okt. – Hasil kempen
kesedaran yang diterapkan dalam kalangan siswa-siswi Universiti Sains
Malaysia (USM) mengenai kelestarian alam sekitar, kajian menunjukkan
peningkatan lebih 60 peratus dari mereka menggunakan basikal berbanding
penggunaan kenderaan bermotor.
Siswa-siswi USM dikatakan lebih selesa
menggunakan basikal untuk bergerak ke Pusat Pengajian atau tempat di
sekitar kampus kerana ia menjimatkan kos, mudah diselenggara dan
menyihatkan badan.
Menurut Yong Bang Ming, pelajar tahun 3,
yang juga Pengarah Projek IronHorse USM, antara faktor utama
siswa-siswi USM terutamanya di kampus kejuruteraan memilih basikal
disebabkan oleh kesedaran mengenai pentingnya persekitaran yang bersih
di samping dapat mengurangkan pencemaran udara.
“Mereka amat menitikberatkan soal
penjagaan alam sekitar terutamanya hal berkaitan kelestarian yang
membuktikan USM berjaya menyedarkan siswa-siswinya betapa pentingnya
alam kepada kehidupan,” katanya pada sidang media selepas majlis
perasmian kempen “Bike for Green” oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan,
Prof. Abdul Aziz Tajuddin di Nibong Tebal.
Menurutnya lagi, pihak IronHorse juga
kini dalam proses membangunkan sistem elektronik bagi menggantikan
sistem sedia ada untuk tujuan sewaan basikal yang disediakan oleh USM
dengan hanya menggunakan imbasan kad pelajar atau kad staf.
Berucap pada majlis perasmian, Prof.
Abdul Aziz Tajuddin berkata beliau amat gembira dengan kejayaan kelab
IronHorse yang dianggotai oleh 40 orang siswa-siswi USM yang berjaya
menyahut misi USM iaitu mentransformasikan pengajian tinggi untuk
kelestarian hari esok.
“Menjadi harapan universiti agar warga
USM bersama-sama mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor dalam
kehidupan seharian dengan menggunakan basikal” kata Aziz.
Kempen ini akan diperhebat dalam
kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah kerana kumpulan ini perlu
didedahkan awal terhadap konsep kelestarian seperti yang dibawa USM.
Projek “IronHorse” sebelum ini dinamakan
sebagai “Oh! Basikalku” merupakan kempen yang diadakan setiap tahun
untuk mempromosikan kepentingan penggunaan basikal dalam kalangan
siswa-siswi. Pelbagai program kempen akan diadakan termasuk kunjungan ke
pelbagai institusi pengajian termasuk sekolah rendah dan menengah di
sekitar Pulau Pinang.
Kira-kira 200 orang yang menghadiri
majlis tersebut kemudiannya berbasikal sekitar kampus menunjukkan
sokongan kepada kempen ini.
Artikel dipetik daripada : SINI
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan