PULAU PINANG, 3 Okt – ``Kejayaan dalam
mengeratkan keakraban dalam kalangan rakan-rakan serta warga kampus
selama lebih 10 tahun meneraju universiti menjadi kegembiraan buat saya
dan saya meninggalkan universiti dengan senang hati, rela hati dan
bangga.’’
Demikian kata mantan Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul
Razak ketika mengulas perasaannya mengakhiri tugas sebagai pengemudi
universiti sejak memegang jawatan itu pada Disember 2000 lalu.
Katanya, beliau turut percaya barisan
kepimpinan yang ada pada khususnya Naib Canselor yang baru dilantik,
Prof. Dato’ Omar Osman ketika ini berupaya menyambung pengembaraan USM
sebagai sebuah universiti berstatus APEX (Program Pemacuan Untuk
Kecemerlangan).
``Ini adalah satu tugas yang perlu
disempurnakan dan saya mempunyai sepenuh kepercayaan kepada semua yang
ada serta tidak wujud keraguan untuk USM terus ke depan,’’ katanya dalam
sidang media sempena majlis penyerahan tugas di sini semalam.
Tambah beliau, silaturrahiam dalam
kalangan warga kampus khususnya pengurusan tertinggi telah berjaya
dieratkan dan kini tiba masanya untuk semua pihak meneruskan usaha
supaya sampai ke mercu tanda yg diingini.
`` "Saya tidak ralat
untuk meninggalkan universiti ini, selama lebih kurang 40 tahun saya di
sini dari mula-mula belajar, bertemu isteri dan anak-anak saya membesar
dan belajar di sini, universiti ini ibarat kampung halaman saya.
``Mahu tidak mahu saya akan terus
menjadi sebahagian dari dunia pengajian tinggi kerana ia telah sebati
dengan diri,’’ katanya sambil menyifatkan akan terus berusaha
meningkatkan proses transformasi pengajian tinggi negara.
Mengulas pengalaman yang mungkin tidak
dapat dilupakan, beliau berkata:``Ada banyak memori yang manis mengenai
USM dan paling tidak dapat dilupakan adalah usaha saya untuk mengeratkan
hubungan serta membina satu pasukan kerja yang akrab berjaya
direalisasikan.
``Ketika saya mula memegang jawatan Naib
Canselor, keadaan sangat berbeza yang mana wujud jurang dalam kalangan
pentadbir khususnya di peringkat atasan dan ia berjaya diminimumkan
sehingga terbentuknya satu hubungan yang kukuh pada hari ini.’’
Sementara itu, Omar pula berkata, rekod
Dzulkifli dalam memacu transformasi universiti sukar untuk ditandingi
dan beliau (Dzulkifli) telah meletakkan satu asas yang kukuh untuk terus
USM terus melakar nama di persada diinginkan.
``Beliau telah melaksanakan tugas yang
sukar dengan meletakkan USM pada tahapnya hari ini, dan usaha beliau
sejak lebih 10 tahun lalu telah memperlihatkan pelbagai kejayaan.
``Tugas kepimpinan pada hari ini hanya
untuk meneruskan dan mempertingkatkan asas yang telah diwujudkan dan
kita akan meneruskan agenda APEX dengan menggembleng bakat dan potensi
dalam kalangan anggota akademik, pentadbir dan para penuntut,’’
jelasnya.
Artikel dipetik daripada : SINI
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan