PULAU
PINANG, 9 Okt - Penganjuran Pesta Hoki Antarabangsa Universiti Sains
Malaysia (USM)-Pulau Pinang (PHA) kali ke-38 ini memperlihatkan
pembaharuan apabila permainan tersebut dijalankan sepenuhnya di atas
padang berumput.
Naib Canselor USM, Prof. Dato Omar Osman
berkata, perkara itu dibuat bagi memelihara keunikan permainan
tersebut, sekaligus mengekalkan corak permainan berseni seperti yang
diamalkan pemain di era sebelum pengenalan padang sintetik.
Katanya, PHA kali ini tampil dengan konsep ‘back to history’
yang mana keunikan dan kemahiran tinggi pemain dapat dipertontonkan
dalam saingan yang melibatkan penyertaan 300 pasukan dari dalam dan luar
negara itu.
``Penyertaan tinggi yang berjaya
diperoleh sekretariat penganjur membuktikan mereka mampu mengangkat nama
baik universiti ke tahap yang dibanggakan dengan semangat kesukarelawan
tinggi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang
media selepas melancarkan PHA USM-Penang di Hotel Eastin, di sini
baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengerusi PHA USM-Penang, Bushan
Radhiburman Mathavan dan wakil-wakil penaja.
Tambah beliau, PHA USM-Penang
dikelolakan sepenuhnya oleh para pelajar USM dengan kerjasama Pusat
Sukan dan Rekreasi USM, Persatuan Hoki Negeri Pulau Pinang, Kementerian
Pengajian Tinggi dan sebagainya.
``PHA turut menjadi medan persaingan
pemain-pemain tempatan serta negara-negara seperti India, Sri Lanka,
Australia, Thailand dan sebagainya. Sehingga kini sejumlah 20 pasukan
antarabangsa telah mengesahkan penyertaan dalam edisi kali ini,’’
katanya.
Sementara itu Bushan pula berkata,
beberapa anugerah khas seperti pemain terbaik, penjaga gol terbaik,
permain terbaik perlawanan akan dikekalkan dan jumlah keseluruhan wang
tunai yang ditawarkan kepada pasukan bertanding mencecah RM30,000.
Katanya, ia meliputi beberapa kategori
utama termasuk Liga Premier, Terbuka Lelaki Klasik, Institusi Pengajian
Tinggi, Veteran Lelaki, Terbuka Wanita Klasik, Terbuka Junior dan
sebagainya.
Tambah beliau, PHA USM-Penang turut
mendapat tajaan dari penaja utama, Nestle Products Sdn. Bhd berjumlah RM
100,000 meliputi wang tunai dan barangan serta penajaan sampingan dari
OBO (m) Sdn. Bhd, Mercian dan VIK Network.
Artikel dipetik daripada : SINI
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan