PULAU PINANG, 28 Sept – Pusat Pengajian
Sains Fizik (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) muncul pusat
pengajian pertama yang menyediakan Pusat Pelajar, satu ruang khas dengan
kemudahan selesa yang menjadi pusat sehenti bagi pelbagai aktiviti
khusus untuk para pelajar PPSF.
Pemangku Naib Canselor, Prof. Ahmad
Shukri Mustapa Kamal berkata, ruang tersebut disediakan bagi memudahkan
aktiviti pelajar khususnya yang berkaitan dengan kegiatan ilmiah seperti
mengulangkaji, perbincangan kumpulan, pertemuan dengan pensyarah dan
sebagainya.
Katanya, ruang khas yang turut
menyediakan kemudahan internet, surau, pantri dan sebagainya itu menjadi
tempat untuk pelajar berinteraksi, selain menjadi salah satu agenda
dalam memperkasakan para pelajar USM di bawah Program Pemacuan Untuk
Kecemerlangan (APEX).
``Banyak manfaat yang diperoleh dengan
tertubuhnya pusat serbaguna seperti ini termasuk meningkatkan keupayaan
pelajar untuk mengoptimumkan pencapaian mereka di bidang akademik dan
nilai tambah yang lain.
``Dalam konteks penubuhan Pusat Pelajar
ini, pihak pengurusan pusat pengajian telah memberikan autonomi kepada
pelajar untuk menguruskannya sendiri dengan pemantauan oleh jawatankuasa
pensyarah,’’ katanya.
Belaiu berkata demikian dalam sidang
media selepas merasmikan pusat tersebut. Turut hadir ialah Dekan PPSF,
Prof. Zainuriah Hassan dan Timbalan Dekan (Akademik & Pembangunan
Pelajar) PPSF, Prof. Madya Mohamad Suhaimi Jaafar.
Zainuriah pula berkata, kemudahan yang
disediakan itu selaras dengan usaha PPSF untuk memberi kemudahan kepada
pelajar dalam memastikan kesinabungan interaksi di antara pelajar dengan
kakitangan PPSF khususnya pensyarah.
Katanya, kebiasaannya bagi para pelajar
pra siswazah, mereka cenderung untuk tidak kembali ke pusat pengajian
setelah melalui minggu-minggu pembelajaran dan lebih memilih untuk
menjalankan aktiviti di tempat lain seperti perpustakaan, kafetaria dan
sebagainya.
``Ia disebabkan faktor ruang yang
terhad. Justeru, kita mengambil langkah proaktif dalam menyediakan
tempat khas bagi mereka menjalankan aktiviti serta memudahkan urusan
perbincangan dengan para pensyarah, rakan sekuliah dan sebagainya,’’
katanya.
Tambah beliau, setiap tahun jumlah
pelajar yang memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang Fizik
semakin bertambah dan pihak pengurusan pusat pengajian terpaksa akur
dengan unjuran yang ditetapkan oleh universiti untuk kebaikan pelajar.
Katanya, kursus Fizik yang dipecahkan
kepada lima program iaitu Fizik Tulen, Fizik Gunaan, Geofizik, Fizik
Kejuruteraan dan Fizik Perubatan merangkumi praktis amali makmal dan itu
menjadi kekangan utama bagi pusat pengajian dalam menambah bilangan
pelajar.
``Dahulu bidang Fizik dilihat kurang
popular berbanding bidang lain namun situasi itu kini mula berubah dan
ramai pemohon menjadikan bidang ini sebagai pilihan utama mereka dalam
mengikuti pengajian pra siswazah di universiti,’’ jelas beliau.
Pusat Pelajar tersebut yang dianggarkan
bersaiz lebih 4000 kaki persegi turut memperlihatkan satu lagi sisi
kejayaan PPSF dalam melestarikan fasa pembelajaran yang kondusif dalam
kalangan pelajar dan meningkatkan motivasi mereka untuk meningkatkan
pencapaian masing-masing.
Ia turut dilengkapi oleh ruang bacaan,
ulangkaji kumpulan, ruang rehat, bilik persatuan pelajar, bilik
penasihatan dan kemudahan ruang untuk melaksanakan temuduga panel
penasihatan dan temuduga kerja dengan pihak industri.
Artikel dipetik daripada : SINI
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan