PULAU PINANG, 1 Okt – Program Selangkah
Ke Universiti (SKU) diyakini dapat membantu menaikkan motivasi pelajar
sekolah, khususnya yang tidak pernah berpengalaman mempunyai ahli
keluarga yang berjaya ke universiti untuk tampil memecahkan tradisi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan
Sri Dr, Koh Tsu Koon berkata, program seumpama itu walaupun cuma sehari
dilihat sangat memberi manfaat khasnya dalam memberi pendedahan langsung
terhadap kehidupan di universiti kepada pelajar sekolah.
Katanya, wujud dalam kalangan pelajar
yang masih belum mempunyai saudara-mara yang pernah menyambung pengajian
ke universiti dan golongan ini perlu diberi perhatian dalam memastikan
mereka tidak tercicir dalam perkembangan arus pendidikan.
``Golongan pelajar ini tiada role model dan mereka tidak begitu sedar tentang kepentingan ilmu dan perasaan apabila berjaya ke universiti.
``Justeru, melalui aktiviti seumpama ini
kita memberi peluang dan pendedahan untuk mereka merasai pengalaman
berada dalam universiti dan seterusnya memberi keyakinan dan motivasi
untuk mereka berusaha mencapai hasrat ke menara gading,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang
media selepas melancarkan majlis penutup program SKU di sini baru-baru
ini. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman.
Lebih memberi makna, kehadiran seorang
pelajar dari kalangan masyarakat orang asli, Yama yang berkongsi
pengalaman pahit manisnya dalam merealisasikan harapan bagi menyambung
pengajian ke peringkat tertinggi turut membuatkan peserta lebih bertekad
untuk berjaya ke universiti.
Sementara itu, Omar pula berkata, pihak
universiti sedang menjalankan pemantauan terhadap golongan yang sedikit
tercicir daripada arus pengajian tinggi termasuk orang asli dan
sebagainya itu untuk memastikan bilangan mereka dapat ditingkatkan di
institusi pengajian tinggi.
Katanya, kebiasaannya pelajar dalam
golongan ini mula tercicir apabila pengajian menengah memasuki tingkatan
tiga dan ia dilihat mencetuskan masalah untuk mereka bersama-sama
pelajar lain meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Program SKU adalah anjuran Badan Amal
dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) dengan kerjasama Kementerian
Pengajian Tinggi (KPT) dan USM, bertujuan untuk memberi motivasi kepada
pelajar-pelajar menyambung pelajaran ke peringkat universiti yang
melibatkan penyertaan pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan 4 di
peringkat zon utara.
SKU juga adalah program sehari yang
manan pelajar akan dibawa ke universiti dan menjalani proses penerapan
dan pendedahan kampus yang bertujuan bagi mendekatkan mereka kepada
kehidupan di universiti.
Melalui program itu, BAKTI dan USM turut
berusaha untuk memberi gambaran jelas mengenai matlamat mereka dan
memberi semangat untuk para pelajar untuk terus berusah
bersungguh-sungguh hingga berjaya ke menara gading.
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan