Selaras dengan peningkatan perbelanjaan
untuk penjagaan kesihatan dalam era globalisasi ini, menyaksikan lebih
banyak perkhidmatan kesihatan berkualiti yang diperlukan oleh orang
ramai.
Menyedari hakikat tersebut, Universiti
Sains Malaysia (USM) mengorak langkah setapak ke hadapan apabila
memeterai perjanjian persefahaman dengan United Nations University for
Global Health (UNU-IIGH) dalam melaksanakan sistem gabungan kes (case
mix system) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Menurut Naib Canselor USM, Prof. Dato’
Omar Osman, sistem gabungan kes ini adalah merupakan sistem pengelasan
pesakit berdasarkan episod rawatan yang diterima setiap pesakit.
‘Konsep sistem ini adalah untuk
memudahkan proses pendiagnosian pesakit yang umum mengetahui ianya
kompleks dengan menggabungkan pesakit-pesakit tersebut kepada satu
kategori diagnosis yang sama,’ katanya.
Tambahnya lagi, antara manfaat yang
bakal diperolehi oleh pihak pengurusan hospital adalah penambahbaikan
dalam perkhidmatan jagaan dan memantapkan lagi kualiti kesihatan di
hospital.
‘Selain itu, kerjasama yang dijalin ini
juga sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin bukan sahaja dalam bidang
ini tetapi juga perkongsian pintar lain untuk faedah kedua-dua
institusi.’
‘Melalui persefahaman ini, diharapkan
HUSM akan berupaya untuk terus memberikan sumbangan kepakarannya kepada
seluruh anggota masyarakat sebagai sebuah hospital pengajaran dan
rujukan utama serta yang terbaik di rantau ini,’ ujar beliau lagi.
Perjanjian persefahaman yang diadakan
pada 16 Oktober lalu telah ditandatangani Prof. Dato’ Omar Osman dan
Prof. Dato’Mafauzy Mohamed, Pengarah Kampus Kesihatan USM bagi pihak USM
dan Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yassin serta Prof. Dato’
Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid mewakili UNU-IIGH.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pembangunan, Prof. Asma Ismail,
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ahmad
Shukri Mustapa Kamal dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Prof. Abdul
Aziz Tajuddin.
Artikel dipetik daripada : SINI
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan