PULAU PINANG, 12 Sept – Perkataan adil
perlu diintepretasi dengan tepat khususnya dalam melihat konteks
keadilan sosial yang sering dikaitkan dengan hak-hak bagi seluruh
masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Setiausaha Politik kepada Perdana
Menteri Malaysia, Dato’ Shahlan Ismail berkata, dalam konsep keadilan
sosial, adil lebih tepat dimengertikan dengan meletak sesuatu pada
tempatnya, bukan bermaksud kesamarataan semata-mata.
``Dengan maksud itu,
perlu diingatkan bahawa negara mengambil berat terhadap kepentingan dan
hak masyarakat Malaysia dan sentiasa memastikan nasib semua kaum terbela
tanpa mana-mana pihak dipinggirkan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika
menyampaikan syarahan khas bertajuk 1 Malaysia di hadapan kira-kira
3,500 pelajar baru Universiti Sains Malaysia (USM) yang mendaftar bagi
mengikuti sesi pengajian untuk sidang akademik 2011/2012.
Tambah beliau, bagi memastikan hak semua
kaum terbela, kerajaan sentiasa peka dalam menyalurkan segala bentuk
bantuan termasuk dari aspek pendidikan, bantuan kelangsungan hidup dan
sebagainya.
``Namun, rakyat perlu memahami dan
mengambil kira tahap kemajuan kaum berada pada tahap yang berbeza kerana
ia penting bagi memstikan konsep adil tidak disalah erti,’’ katanya.
Shahlan juga berkata, rakyat di negara
ini perlu akur dan patuh kepada hak sesama kaun termasuk yang menyentuh
hal-hal kebebasan bersuara, berpolitik, amalan agama, adat resam,
pendidikan dan sebagainya.
``Nilai-nilai murni ini secara tidak
langsung dapat menerapkan teras perpaduan antara kaum, selain
menyuburkan sikap hormat-menghormati dan rendah diri di antara satu
sama lain’’ katanya.
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan