PULAU PINANG, 21 Sept – Para graduan
dinasihatkan supaya tidak melupakan jasa ibu bapa khususnya setalah
mereka mencapai kejayaan dalam kehidupan.
Demikian titah Tuanku Canselor
Universiti Sains Malaysia (USM), Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum
Tuanku Syed Putra Jamalullail dalam titah baginda sempena pembukaan
sidang pertama Upacara Konvokesyen USM ke-44 di sini hari ini.
Baginda bertitah, ibu bapa tidak
mengharapkan wang ringgit anak-anak sebaliknya amat gembira jika jasa
mereka dalam membesarkan anak-anak dapat dikenang dan dihargai.
``Media sering melaporkan kes-kes yang
melibatkan pengabaian terhadap ibu bapa, justeru saya menasihatkan semua
anak-anak supya tidak melakukan perkara sama kerana jasa ibu bapa amat
besar dalam membesarkan anak-anak.
``Ia tidak boleh dinilai dengan wang
ringgit dan tanpa kedua ibu bapa maka kita juga tidak akan wujud di
dunia ini,’’ titah beliau di hadapan kira-kira 3000 hadirin termasuk
graduan dan tetamu graduan di Dewan Tuanku Syed Putra di sini hari ini.
Baginda turut menitahkan graduan supaya
meletakkan fokus dan komitmen yang tinggi untuk menggabungkan antara
minat dan kesungguhan dengan ilmu pengetahuan untuk melakukan perubahan
dalam perkara yang dilakukan.
``Anak-anak muda hari ini perlu
menguasai dan membangunkan kedua-dua aspek tersebut dalam kehidupan,
selain perlu bekerja keras, ikhlas dan mengukuhkan keupayaan diri untuk
dihormati dan disegani dalam bidang masing-masing,’’ titah baginda.
Baginda turut melahirkan rasa bangga
dengan penganugerahan ijazah kehormat kepada tiga tokoh yang disegani
termasuk Doktor Sains kepada Presiden Institut Riken, Jepun merangkap
ahli kimia tersohor, Prof. Ryoji Noyori.
Sasterawan Negara, Dato’ Noordin Hassan
pula turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan manakala
tokoh pemikir agung dalam isu-isu yang berkait rapat dengan dunia Afrika
dan anti-kolonialisme, Prof. Dr. Al’Amin Ali Mazrui pula dianugerahkan
Ijazah Kehormat Doktor Falsafah.
Baginda bertitah, walaupun dua daripada
penerima (Dato’ Noordin& Prof. Al’Amin Ali Mazrui) tidak dapat
bersama namun aura ilmu yang wujud dalam diri mereka tetap dirasai oleh
setiap yang hadir pada upacara akademik tertinggi universiti itu.
``Ketiga-tiga tokoh mempunyai aura ilmu
yang hebat dan amat berpengaruh dalam bidang masing-masing. Mereka
mempunyai persamaan termasuk dari aspek kesungguhan, minat dan autoriti
besar dalam bidang yang diceburi,’’ titah baginda.
Tuanku Canselor kemudiannya berkenan mencemar duli bagi melancarkan buku bertajuk Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms yang telah diolah dan disusun oleh Claude Alvarez dan Shad Saleem Faruqi.
Claude Alvarez dan Shad Saleem masing-masing ialah aktivis politik dan Penasihat Undang-undang USM.
Sementara itu, upacara akademik
tertinggi dalam kalendar universiti itu turut menyaksikan keseluruhan
5590 graduan berijazah, termasuk tiga Ijazah Kehormat, 1134 bagi Ijazah
Tinggi, 4356 untuk Ijazah Sarjana Muda manakala 97 lagi menerima diploma
melalui usahasama akademik dengan USM.
Artikel dipetik daripada : SINI
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan