PULAU PINANG, 23 SEPTEMBER 2011 --
Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan projek genom manusia yang
pertama di negara ini bagi meneliti penanda genetik yang menyebabkan
pertumbuhan seseorang individu itu terbantut atau kerdil.
Penyelidikan berkenaan yang dijalankan oleh Pusat Biologi Kimia USM diketuai oleh pelajar sarjana pusat berkenaan, Lee Ling Sze.
Menurut beliau kajian USM itu menjadi
langkah penting dalam pembangunan untuk memajukan bidang perubatan dan
penjagaan kesihatan lain khususnya bagi bayi yang baru lahir.
"Keadaan atau situasi tersebut yang
disebabkan oleh mutasi atau perubahan pada kromosom tertentu ini mungkin
boleh diatasi menerusi penyelidikan yang dijalankan bersama sekumpulan
penyelidik USM sejak 2009.
"Selepas mengetahui kromosom yang
mengalami perubahan, mungkin ia boleh digunakan untuk mengatasi dan
merawat penyakit yang dihadapi seseorang secara lebih berkesan selain
mengelakkan genetik itu pada generasi masa depan," katanya dalam sidang
akhbar di sini, Jumaat.
Menurut Ling Sze setakat ini kajian itu
mendapati keadaan kerdil yang dihadapinya bukan disebabkan kerosakan
pada kromosom yang dikenali 'fgf3' yang sering dikaitkan dengan
Akondroplasia.
"Gen kromosom saya normal dan tidak
menunjukkan sebarang tanda perubahan, sehubungan itu saya mahu mencari
puncanya dengan lebih lanjut," katanya sambil menyasarkan kajian itu
dapat disiapkan akhir tahun ini selain berhasrat menerbitkan satu jurnal
sains untuk rujukan pelbagai pihak.
Projek perintis itu turut mendapat
sokongan Joint Genome Institute- Los Alamos National Laboratory
(JGI-LANH) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Dalam sidang media yang sama, USM yang
diwakili Naib Canselornya Prof Tan Sri Dzulkifli Razak turut memeterai
memorandum persefahaman (MoU) dengan JGI-LANH yang diwakili oleh Ketua
Kumpulan Sains Genomics dan Pengarah Pusat Jabatan Tenaga JGI-LANH Chris
Detter sambil disaksikan oleh Dato’ Seri Idris Jala, menteri di Jabatan
Perdana Menteri Malaysia yang hadir bagi mengumumkan penemuan
tersebut.
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan