Naib Canselor bersama-sama pelajar kurang penglihatan yang turut menjadi Pemerhati DPPUSM
PULAU PINANG, 19 November: Majoriti
ahli-ahli Dewan Perundingan Pelajar (DPP) Universiti Sains Malaysia
(USM) menolak usul untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej
Universiti (AUKU) sebaliknya meminta agar universiti tidak membenarkan
parti politik memasuki dalam kampus serta menghormati idealisme
mahasiswa.
Usul tergempar itu dikemukakan oleh seorang ahli DPP, Mohd. Iswandy Ishak
dalam persidangan pertama DPP pada Sidang Akademik 2011-2011 yang
bermula jam 9.00 pagi ini yang telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Omar
Osman, Naib Canselor USM. DPP USM mempunyai seramai 58 ahli yang boleh
mengundi dan 51 orang pemerhati.
Usul tergempar tersebut dikemukakan
untuk meminta supaya Seksyen 15 AUKU dipinda untuk membenarkan
penglibatan pelajar universiti dalam politik sama ada dengan bersimpati,
menyokong atau menyertainya tanpa perlukan kelulusan pihak universiti.
Nik Mohamed Hussein Nik Ali, Speaker Dewan membenarkan usul tersebut dibahaskan dan kemudiannya dibuat pengundian.
Ahli-ahli DPP telah membahaskannya
selama kira-kira 40 minit yang sebahagian besarnya berpendapat bahawa
Seksyen 15 AUKU tidak wajar dipinda dan perlu dikekalkan kerana ia akan
mengancam proses pembelajaran pelajar serta mengganggu ekosistem
pengajian yang ada sehingga menjejaskan proses penjanaan dan pembangunan
ilmu di kampus terutamanya dalam kalangan pelajar.
Seramai 46 orang ahli mengundi menolak usul tersebut, manakala 12 orang ahli menyokong.
Mengulas pandangan dan semangat yang
dibawa oleh ahli-ahli Dewan pada hari ini, Nik Mohamed Hussein berkata,
“Secara majoritinya kami berharap agar universiti memandang serius
perkara ini dan jangan sama sekali membenarkan parti politik
mengembangkan pengaruhnya secara langsung dalam kampus dengan mengajak
siswa-siswi terlibat sama sehingga akhirnya idealisme mahasiswa akan
terjejas dan terhakis.”
Ahli Dewan Muhammad Idzuan Jamalludin
berpendapat jika AUKU dipinda ia akan mengancam keseluruhan ekosistem
kampus yang ada sekaligus mengganggu proses pembelajaran kerana terikat
dengan kepentingan politik berparti yang sukar untuk dikawal.
Katanya lagi, di universiti sudah cukup
banyak ruang dan kebebasan yang diberi kepada siswa-siswi untuk
mematangkan diri dan melibatkan diri dalam politik kampus yang bebas
daripada ideologi mana-mana parti politik yang khusus sebaliknya
berusaha membangunkan diri untuk menjadi pemimpin pada masa depan.
Tambah Muhammad Idzuan yang juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar USM,
AUKU sebenarnya berusaha untuk mengekalkan kebebasan mahasiswa daripada
diikat oleh mana-mana parti politik. Campur tangan pihak luar
dikhuatiri akan memberi kesan besar kepada mahasiswa apatah lagi untuk
bersikap bebas dan mencari kebenaran melalui proses penjanaan ilmu yang
dilakukan selama ini.
Persidangan sehari ini, membahaskan 20
usul yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa, pembinaan surau di dewan
kuliah, merit pelajar, ketelusan markah kerja kursus, menaik taraf
komputer, masalah lalu lintas, perkhidmatan pergigian, meningkatkan
kebajikan Orang Kelainan Upaya (OKU), pembentangan bajet APEX dan
pengambilan suntikan HPV untuk pelajar.
Turut dibahaskan ialah isu penganjuran
Seksualiti Merdeka 2011 yang ditolak dan dikecam sekeras-kerasnya oleh
ahli-ahli Dewan yang menganggapnya sebagai keterlaluan dan bertentangan
dengan nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat yang beragama dan
bermoral.
Dewan turut membincangkan dan meluluskan
dengan pindaan usul tergempar yang meminta agar Universiti bersama-sama
menangani isu graduan Pendidikan yang tidak diberikan penempatan untuk
mengajar sebaliknya meminta supaya diadakan persefahaman dengan pelbagai
pihak untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu mereka mendapat
pekerjaan dan petempatan.
Dari 20 usul yang dibentang, 17 daripadanya diterima dan dibuat pindaan manakala selebihnya ditolak oleh ahli-ahli Dewan.
Persidangan DPP kali ini berakhir jam
6.30 petang ini. DPP ditubuhkan pada tahun lalu oleh USM sebagai
manifestasi dari Parlimen Mahasiswa yang memberikan kebebasan sepenuhnya
kepada mahasiswa untuk mengemukakan usul, memilih dan membahas untuk
diterima atau ditolak tanpa campur tangan universiti.
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan