Isnin, 21 November 2011

YTS SUMBANG DANA BANTU PELAJAR

usmhepp
PULAU PINANG, 9 Nov -  Yayasan Tun Sardon (YTS) bersetuju untuk memberi bantuan pinjaman kewangan kepada pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang kurang berkemampuan melalui tabung  khas yang dikenali sebagai Tabung Pinjaman Yayasan Tun Sardon.
Naib Canselor USM, Prof. Dato' Omar Osman berkata, sumbangan permulaan oleh YTS berjumlah RM50,000 itu akan digunakan bagi membiayai pinjaman kewangan jangka panjang kepada pelajar USM yang tidak berkemampuan.
Katanya, sokongan dan sumbangan YTS itu secara tidak langsung dapat menjadi alternatif kepada mana-mana pelajar yang tidak tersenarai untuk menerima pinjaman dari peminjam lain seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebagainya.
``Pihak universiti amat berbesar hati dengan wujudnya kerjasama bersama YTS dan berharap jalinan yang dibina turut mampu menjayakan hasrat universiti dalam melahirkan insan yang cemerlang yang mampu menyumbang semula kepada pembangunan negara.
``Pihak universiti dalam mempelbagaikan alternatif bantuan kepada pelajar amat berharap kerjasama seumpama ini turut disokong dan disertai oleh pihak-pihak lain,'' katanya dalam ucapan sempena majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dengan YTS di sini hari ini. 
Pengerusi YTS, Dato' Rizal Al-Amin pula berkata, pinjaman tersebut bertujuan untuk meringankan beban pelajar dalam menyara kos pembelajaran di menara gading termasuk yuran, sara hidup dan sebagainya.
Katanya, penyaluran dana itu turut menjadi salah satu cara YTS menunaikan tanggungjawab dalam memberi bantuan untuk para pelajar yanga datang dari keluarga berpendapatan rendah menunaikan impian mereka untuk bergelar mahasiswa.
``YTS turut berbangga kerana dapat bekerjasama dengan sebuah universiti yang mempunyai reputasi tinggi di negara ini dan kerjasama ini juga menjadi sebahagian cara untuk YTS mengiktiraf pencapaian USM,'' katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut akan melihat perkembangan tabung berkenaan dari masa ke semasa dan bercadang untuk meningkatkan jumlah tajaan pada masa depan, sekaligus dapat memabntu lebih ramai pelajar yang memerlukan.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: