Isnin, 21 November 2011

GABENOR JENERAL KANADA KONGSI PANDANGAN SAMA

usmjeneral
PULAU PINANG, 17 Nov – Gabenor Jeneral Kanada, David Johnston berkongsi pandangan yang sama dan bersetuju dengan konsep ilmu yang diterapkan di Universiti Sains Malaysia (USM) yang  tidak meletakkan jurang di antara kedua-dua bidang sains dan sastera.
Katanya, sains dan sastera adalah disiplin ilmu yang berhubungkait di antara satu sama lain dan tiada garisan yang mengasingkannya kerana kedua-dua ilmu itu wujud untuk mencari dan mendedahkan kebenaran.
``Perkara ini mengingatkan saya kepada beberapa individu terkenal di dunia yang mana mereka menggabungkan kedua-dua cabang ilmu itu dan menghasilkan output yang mampu mencipta sejarah dan terkenal di serata pelosok dunia,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam syarahannya yang bertajuk The Diplomacy of Knowledge: Education and Globalisation in the 21st Century di sini baru-baru ini. Turut serta dalam syarahan itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin.
Tambah Johnston, antara tokoh yang dimaksudkannya adalah Mendiang Steve Job yang unggul dengan teknologi yang dibawanya melalui produk Apple serta Da Vinci dengan hasil seninya yang sehingga kini tidak dapat ditandingi.
Beliau turut berkata, universiti pada hari ini juga perlu memainkan peranan penting dalam membina dunia yang lebih pintar dan sejahtera.
``Dengan itu, universiti harus tahu hala tujunya selain dari menjadi tempat untuk pelajar mendapatkan ilmu yang terbaik. Kita harus tampil unik dangan mengenalpasti dan membangunkan kekuatan dan kepakaran sendiri yang mapan,’’ jelasnya.
Beliau juga turut melahirkan rasa kagum dengan pencapaian yang dilakukan Malaysia, khususnya dalam membangunkan bakat manusia yang disifatkannya sebagai sangat penting untuk merubah keadaan manusia.
Beliau yang pertama kali ke negara ini 30 tahun dahulu turut menyuarakan rasa senang dengan aspirasi para pemimpin di negara ini yang memahami kepentingan dalam menjadikan ilmu sebagai satu agen bagi memberi sinar baru dalam kehidupan manusia.
Katanya, ilmu mempunyai kuasa yang tersendiri yang mana ia perlu dijadikan perkara penting  untuk meningkatkan kemampuan dan daya saing manusia.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman pula berkata, USM sentiasa berusaha untuk meluaskan jaringan kerjasama dengan pihak antarabangsa dan kesempatan mengikuti syarahan itu bersama Johnston dilihat bertetapan dengan usaha itu.
``Topik yang dibincangkan pada hari ini juga amat berkaitan dengan USM dan berharap lebih banyak kolaborasi dapat direalisasikan dengan pihak luar khasnya Kanada bagi mengangkat martabat bidang ilmu,’’ katanya.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: