Isnin, 21 November 2011

SCHLUMBERGER SUMBANG PERISIAN GEOFIZIK TERKINI: SUMBANGAN BANTU TINGKAT KUALITI GRADUAN PULAU PINANG

usmberger
PULAU PINANG, 10 Nov – Schlumberger, syarikat eksplorasi geofizik gergasi dunia menyumbang sepuluh lesen perisian pemprosesan data seismik kepada Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sokongan kepada pembangunan akademik di universiti.
Perisian tersebut sekaligus dapat membantu para pelajar Geofizik USM khususnya di peringkat ijazah pertama untuk menambahkan kemahiran mereka dan menguasai perisian terkini yang digunakan secara meluas dalam sektor industri di seluruh dunia itu.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, lesen berkenaan turut memberi nilai tambah kepada USM khususnya kepada para pelajar dan pensyarah jurusan Geofizik dalam mengendalikan proses penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.
``Ia turut membantu melatih para pelajar USM dalam mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam kerjaya khasnya dalam eksplorasi bidang minyak dan gas,’’ katanya dalam sidang media sempena majlis penyerahan lesen perisian itu di sini hari ini.
Tambah beliau, sumbangan oleh Schlumbeger itu juga menunjukkan satu lagi hasil usahasama USM dengan pihak industri dalam memastikan graduan yang dihasilkan USM berkualiti dan memenuhi keperluan industri.
``USM sentiasa menambahbaik dan membuat pemantauan dalam kursus-kursus yang ditawarkan termasuk dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya universiti dapat melahirkan graduan yang berkemahiran dan mempunyai kobolehpasaran yang tinggi,’’ katanya.
Katanya, setiap tahun USM berjaya melahirkan purata 25 graduan Geofizik dan kebanyakan daripadanya diterima bekerja di syarikat-syarikat berasaskan minyak dan gas di seluruh dunia.
Sementara itu, Naib Presiden Asia, Schlumberger Information Solution, A. Hatta Kamaruzzaman pula berkata, pihaknya memilih USM sebagai antara penerima sumbangan perisian itu berdasarkan kepada kredibiliti dan kecemerlangan universiti tersebut.
``USM adalah antara universiti terkemuka di negara ini yang menawarkan kursus dan melahirkan graduan Geofizik yang sangat baik,’’ katanya sambil menyifatkan perisian tersebut turut disumbangkan kepada lebih 100 universiti di seluruh dunia.
Tambah beliau, Schlumberger sedia memberikan komitmen padu kepada USM dan menyokong usaha pembangunan universiti, termasuk dengan menwarkan bantuan melatih tenaga mahir dalam penggunaan perisian terkini yang dihasilkan syarikat mereka.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: