Ahad, 20 November 2011

USM, CNEURO KAJI CARA PANTAS DIAGNOS SAWAN DAN STROK

usmmou
PULAU PINANG, 9 Nov – Universiti Sains Malaysia (USM) akan bergandingan dengan Cuban Neuroscience Center (CNEURO), Cuba bagi mengkaji kaedah paling cepat dalam mendiagnos pesakit epilepsi (sawan) dan strok.
Kajian yang masih dalam proses awal pelaksanaannya itu dibuat bagi mengatasi masalah kelewatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit sawan dan strok yang akan menjadikan tahap penyakit lebih serius sehingga boleh membawa maut.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, kajian tersebut disifatkan sebagai bertetapatan dengan matlamat universiti untuk membantu golongan terkebawah khususnya dalam menambahbaik tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Katanya, kajian yang dibuat dengan pengaplikasian disiplin ilmu Neurosains itu turut diharap dapat memberi manfaat kepada perkembangan teknologi dan kemudahan tampatan yang boleh diakses di hospital-hospital daerah dan klinik kesihatan.
``Kita perlu mewujudkan kaedah pencegahan dan kemudahan rawatan yang berteknologi tinggi yang dapat menambahbaik kualiti hidup masyarakat namun dalam masa yang sama biarlah semua lapisan masyarakat berkemampuan untuk menikmatinya.
``Tidak ada gunanya kita berbelanja berjuta-juta ringgit untuk kemudahan perubatan yang hanya boleh digunakan kepada golongan tertentu sedangkan yang sangat memerlukannya terpinggir ekoran kos rawatan yang mahal dan sebagainya,’’ jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangan MoU dengan CNEURO di sini hari ini. CNEURO diwakili Naib Presiden (Penyelidikan), Dr. Pedro A. Valdes Sosa. Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Prof Abdul Aziz Baba dan Ketua Jabatan Neurosains, Prof. Jafri Malin Abdullah.
Sementara itu, Jafri pula berkata, bidang Neurosains berpotensi untuk dibangunkan dengan lebih pesat dengan kerjasama yang dibuat bersama-sama rakan strategik yang berpengalaman seperti CNEURO dan sebagainya.
Katanya, sehingga kini beberapa peralatan canggih berteknologi tinggi telah ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk tujuan penyelidikan dan rawatan, termasuk mesin Magnetoencephalography, 128 Channel Electroencephalography dan 3 Tesla functional Magnetic Resonance Imaging.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: