PULAU PINANG, 25 Okt – Dua pelajar
Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP), Universiti
Sains Malaysia (USM) muncul juara bagi kategori masing-masing dalam
pertandingan Rekabentuk Seni Bina Pelajar 2011 yang diumumkan di sini
semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan
kedua-dua pemenang, Ow Yang Seok Tin (kategori A) dan Muhammad Taufik
Abdul Wahab (B) membawa pulang hadiah utama RM 800, sijil penghargaan
dan cenderamata, selain mewakili USM ke pertandingan peringkat
kebangsaan di Kuala Lumpur, bulan depan.
Seok Tin dan Muhammad Taufik dipilih
berdasarkan konsep kreatif yang ditonjolkan dalam rekabentuk binaan
mereka, masing-masing dengan model Pusat Seni Persembahan dan Pusat
Pengajian Seni Bina Digital Antarabangsa Malaysia yang dilakarkan dalam
lakaran digital tiga dimensi.
Selain mereka, pemenang tempat kedua
iaitu Chuu Chee Keong (A) dan Cynthia Yong Hwa Sieng (B) turut terpilih
untuk menyertai pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan dan
berentap dengan universiti lain termasuk Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia
(UTM) dan sebagainya.
Kategori A memperuntukkan penyertaan
dalam kalangan para pelajar tahun tiga jurusan Seni Bina USM manakala B
pula diwakili pelajar tahun lima jurusan tersebut.
Dekan PPPBP, Prof. Ir. Dr. Mahyuddin
Ramli berkata, pertandingan yang didadakan setiap tahun itu
memperlihatkan kecemerlangan para pelajar PPPBP dan komitmen mereka
dalam menghasilkan hanya yang terbaik untuk menaikkan nama universiti.
Katanya, PPPBp sentiasa memberi peluang
kepada pelajar untuk mengenengahkan bakat mereka khususnya dalam
pertandingan seumpama ini yang juga dilihat sebagai satu peluang
keemasan untuk mereka mendedahkan diri dengan persekitaran di luar bilik
kuliah.
``Ini satu pendedahan yang baik yang
dapat meningkatkan kemahiran dan menjana minda pelajar untuk meluahkan
idea bernas khususnya yang berkait dalam bidang rekabentuk dan
pembinaan,’’ katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian hadiah di
sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua
Pegawai Operasi United Asbestos Cement Berhad (UAC) selaku penaja dan
penganjur utama, Tey Long Puang.
Pertandingan yang disertai oleh para pelajar seni bina USM itu bertemakan ‘Build Green for A Sustainable Future’
dan meletakkan kriteria utama seperti pengunaan bahan mentah yang boleh
diguna semula, jimat tenaga, guna tenaga diperbaharui dalam pemilihan
pemenang.
Rekabentuk Pusat Seni Persembahan dan
Pusat Pengajian Seni Bina Digital Antarabangsa oleh dua pelajar,
masing-masing yang diperincikan dengan teknologi hijau dan mesra alam
nyata membawa tuah kepada dua pelajar Universiti Sains Malaysia (USM).
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan