Isnin, 21 November 2011

GABUNGAN KERJASAMA: AMALAN USM TARIK PERHATIAN YANG DIPERTUA NEGERI

usmsgss1
PULAU PINANG, 14 Nov – Pemuafakatan dan semangat bekerjasama seperti yang diamalkan warga Universiti Sains Malaysia (USM) disifatkan sebagai satu langkah terbaik dalam mengekalkan momentum kecemerlangan universiti.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas berkata, beliau tertarik dengan gabungan kerjasama di antara para pelajar, pensyarah, pentadbir dan sebagainya yang dilihat membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan dalam segala hal yang dilakukan.
Katanya, usaha tersebut wajar diteruskan dan ditambahbaik dengan memanjangkan kerjasama bersama pihak luar khususnya pihak kerajaan dalam memastikan matlamat gedung ilmu untuk mengubah taraf sosio ekonomi masyarakat dapat dicapai dengan lebih efketif.
``Perkara-perkara yang dilakukan pelajar dan universiti secara keseluruhannya akan sentiasa didukung oleh kerajaan kerana ia adalah satu usaha yang baik ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
``Kerjasama USM dengan badan-badan bukan kerajaan sehingga melangkaui ke negara-negara miskin seperti Bangladesh juga adalah satu usaha murni yang cukup baik untuk diteruskan,’’ ucap beliau ketika merasmikan Projek Kelestarian APEX di sini baru-baru ini.
Pelancaran projek-projek lestari APEX yang dilaksanakan di bawah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) dengan kerjasama beberapa pihak seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP).
Ia merangkumi pelbagai aktivi khusus termasuk program Nafas Lestari, Skuad Kelestarian, kempen “Say No to Plastic Bags”, “Stop Reuse Let’s Reduce” “White Coffin” dan “Let’s Cycle” yang bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan konsep lestari dan bagaimana ianya boleh direalisasikan dalam kehidupan seharian masyarakat.
Tun terdahulu menonton video ‘Mengembalikan Senyumanmu’ yang menceritakan tentang usaha USM melalui kerja amal bersama MERCY Malaysia dalam memberi bantuan perubatan (pembedahan) kepada pesait-pesakit sumbing yang tidak berkemampuan di Bangladesh.
Beliau turut menegaskan, universiti bukan sekadar tempat untuk siswa-siswi mendapatkan segulung ijazah sebaliknya menjadi tempat untuk mereka menimba dan melatih diri bagi berkhidmat kepada masyarakat di sekeliling dan di seluruh dunia.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman pula berkata, USM sebagai satu-satunya institusi berstatus APEX negara melalui program-program turun padang ingin menyemai bakti kepada golongan masyarakat terkebawah.
``USM selaku sebuah gedung ilmu mahu berusaha sebaik mungkin dalam melakukan pemindahan ilmu, sekaligus mengurangkan jurang sosio-ekonomi dan mentransformasikan masyarakat agar lebih sejahtera dan lestari.
``Usaha-usaha yang lestari ini perlu digandakan supaya ia kelak menjadi satu budaya unik di USM serta dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat. Ia akan menjadi satu budaya menguntungkan khususnya untuk kepentingan generasi akan datang,’’ katanya.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: