Selasa, 8 November 2011

TERAP SEMANGAT SANGGUP BERKORBAN SEMPENA AIDILADHA - SERU NC

AIDILADHA_-_WEB
"Semangat untuk sanggup berkorban perlu terus diterapkan dalam kalangan seluruh warga universiti demi untuk kejayaan pada masa depan," kata  Prof. Dato' Omar Osman, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM).
Naib Canselor dan isteri, Datin Noraizan Jamaludin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam khususnya warga USM dalam kalangan staf mahu pun siswa-siswi, para alumni serta keluarga di mana sahaja berada.
"Kesanggupan unrtuk berkorban tenaga, masa dan pemikiran dalam membantu menjayakan usaha universiti untuk mentransformasi pemikiran dan usaha dalam pembangunan ummah merupakan keperluan jika kita benar-benar ikhlas dalam usaha tersebut apatah lagi melihatnya dalam konteks kelangsungan hidupan umat manusia sejagat dan kesejahteraan alam yang akan juga menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan generasi yang akan datang," tambah Omar.
Dalam konteks yang sama, Naib Canselor menyeru agar semua pihak membina rasa prihatin dalam usaha untuk saling membantu antara satu sama lain, menjaga kebajikan dan kesejahteraan bersama dan memastikan usaha memanusiakan manusia seluruhnya melalui aplikasi ilmu pengetahuan dan kepakaran yang ada dapat berlangsung terus untuk faedah semua pihak.
Katanya lagi, kesanggupan berkorban seperti mana yang dituntut oleh agama, apatah lagi untuk kemaslahatan umat dan alam seluruhnya adalah sebahagian dari usaha memartabatkan tamadun ummah yang harus sentiasa dipegang dan dilaksanakan secara berterusan. Ia perlu dipupuk dan diperkasakan jika ingin terus berjaya dengan menjadikan ilmu pengetahuan sebagai teras kemajuan ummah.
Untuk melaksanakan tanggungjawab itu,  Naib Canselor juga menyeru untuk seluruh warga USM dan umat Islam memperkukuhkan komitmen serta bekerja keras dan tidak mudah putus asa dalam melaksanakan tanggungjawab ini.
"Kita harus bekerja bersama-sama, berganding bahu dan sedia memberi dan menerima untuk memastikan usaha kita selama ini termasuk dalam melaksanakan agenda APEX , akan terus mencapai kejayaan apatah lagi sasaran utama kita ialah untuk membantu mereka yang memerlukan melalui usaha memanfaatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang ada sama ada dalam agenda membantu meningkatkan taraf ekonomi mahu pun pembangunan yang holistik yang mendapat keredhaan Allah s.w.t." katanya lagi.
Tambah Omar, semua ini hanya boleh dicapai jika setiap warga sanggup berkorban apa sahaja yang boleh untuk menjayakan hasrat ini.
Kenyataan dari Pusat Islam USM menyebut Masjid Al-Malik Khalid akan mengadakan solat Aidil-Adha pada jam 8,30 pagi Ahad, 6 November ini dan kemudiannya mengadakan ibadah korban yang melibatkan 20 ekor lembu dan beberapa ekor kambing.
Selamat Hari Raya Aidil-Adha.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


Tiada ulasan: