 |
DARI KIRI; Datuk Dr Kemala, Noresah Baharum dan Ratna Inzah Mohd Asri. |
Negara berdepan kekaburan berbanding Jepun, Jerman, Perancis dan Indonesia
KEPENTINGAN membina sastera kebangsaan negara ini dengan strategi
teratur dan pelaksanaan mantap, di samping kesediaan Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) untuk berubah demi memikul tanggungjawab dalam
merealisasikan hasrat terbabit mendapat perhatian panel Bengkel Konsep
Pembinaan Sastera Kebangsaan.
Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1980, Datuk (Dr) Baharuddin
Zainal, mencadangkan Bahagian Sastera DBP meneruskan falsafah perjuangan
Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang pernah
dibahaskan 40 tahun dulu dalam usaha merancang strategi pembinaan
sastera kebangsaan.
“Strategi baru mesti dirancang dan ia perlu berkesan serta relevan
dengan perubahan besar di negara ini terutamanya selepas Pilihan Raya
2008. Pastikan ia tidak terumbang-ambing dan tidak bertentangan dengan
falsafah kebahasaan mahupun kebangsaannya,” katanya pada bengkel yang
berlangsung di Menara DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam menjayakan misi pembinaan sastera kebangsaan, DBP diminta
mengambil kira sikap generasi baru dengan kerjaya profesional iaitu
walaupun berpelajaran, namun belum tentu lagi mempunyai semangat
kebangsaan Melayu dan iltizam terhadap bahasa serta budaya Melayu
setebal generasi lama.
Badan berkanun terbabit juga turut diingatkan agar memperhebatkan
kerja dalaman DBP di sebalik kemajuan teknologi dan memanfaatkannya bagi
tujuan mempromosi karya serta menyebar nilai seni mahupun intelektual
di kalangan masyarakat yang mesra internet.
“Masih ramai yang tidak faham apa itu sastera kebangsaan dan cabaran
paling besar yang perlu ditangani DBP ialah menembusi sikap dan fikiran
penduduk pelbagai kaum untuk menunjukkan bahawa bahasa dan sastera
kebangsaan berperanan membina tamadun moden Malaysia.
“Saya tidak menyuruh DBP berkonfrontasi dengan globalisasi,
transformasi dan kepelbagaian budaya, tetapi apakah ikhtiar atau
tindakan DBP untuk memaju dan memperluaskan penggunaan bahasa serta
persuratan Melayu daripada terus dipinggirkan.
“Bahasa dan pengarang memberi jati diri berbeza kepada sesuatu
bangsa dan sebelum membuta tuli bertoleransi atau menerima budaya lain,
nilai kebudayaan yang ada pada bangsa Melayu perlu dihormati. Rakyat
memerlukan pengarang dan sasterawan yang tulen untuk selalu mengingatkan
pemimpin mengenai bahasa dan jati diri bangsa,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan DBP mengadakan penerbitan bersama dengan
penerbit luar untuk menerbitkan manuskrip siap kemas diedit, menyusun
biografi tokoh penulis, merancang projek penerbitan khusus dan
menyarankan kepada kerajaan untuk membentuk Badan kehormat Pemikir
Bahasa dan Sastera Kebangsaan.
DBP juga diminta menghantar pegawai ke institusi pembangunan bahasa
dan sastera kebangsaan bagi pendedahan birokrat budaya antarabangsa,
mengatur strategi promosi buku, memperkenal pengarang tempatan serta
meningkatkan taraf Pusat Dokumentasi Melayu kepada Pusat Dokumentasi
Persuratan Melayu yang moden serta terbesar di rantau ini.
Sasterawan Negara (SN) Ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan, pula
mengingatkan pembinaan sastera kebangsaan memerlukan tugas mempersiapkan
dan mengemas kini tiga bahagian korpus iaitu glosari istilah sastera,
sejarah sastera dan biografi pengarang sastera.
“Himpunan tiga korpus ini akan dapat melahirkan teori sastera
tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap teori sastera
dari barat. Cara ini juga dapat mempermudahkan pelbagai pihak membuat
rujukan, menentukan penanda aras pencapaian sastera dan memudahkan
program pengembangan sastera,” katanya.
Beliau mencadangkan glosari istilah sastera dibahagikan kepada dua
bahagian iaitu istilah kesusasteraan umum dan istilah kesusasteraan
khusus dibahagikan kepada istilah sastera Melayu tradisional, cereka,
drama, lakon layar, puisi serta kritikan sastera.
Sejarah sastera pula dicadangkan dibahagikan kepada sejarah umum,
sejarah genre cerpen, sejarah genre drama, sejarah genre novel, sejarah
genre esei dan kritikan serta sejarah genre puisi, manakala biografi
pengarang sastera dibahagikan biografi pengarang dan pujangga
tradisional dan pengarang moden atau mutakhir.
Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP), Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, senada dengan dua panel terbabit
apabila turut memperakukan konsep sastera kebangsaan di Malaysia kabur
ekoran ketiadaan dasar konsep sastera kebangsaan yang didukung oleh
Perlembagaan Negara seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Perkara ini menimbulkan tanda tanya apakah wujud sastera kebangsaan
Malaysia dan jika diandaikan wujud, persoalannya ialah adakah sastera
yang diungkapkan dalam bahasa kebangsaan oleh kaum yang menjadi rakyat
Malaysia itu ialah sastera kebangsaan,” katanya.
Baginya tidak semua sastera kebangsaan berdepan dengan kekaburan
seperti dibuktikan negara Jepun, Jerman, Perancis dan Indonesia yang
memberi kedudukan jelas mengenai bahasa serta sastera kebangsaan mereka
sehingga ia turut diketahui orang asing.
“Sungguhpun demikian Malaysia mempunyai konsep yang jelas mengenai
sastera Melayu yang secara umumnya dipraktikkan oleh bangsa Melayu dan
bersifat serantau dengan sejarah yang panjang serta lengkap, selain ada
disiplin tersendiri,” katanya.
Prof Md Salleh turut menjelaskan strategi yang boleh dirangka dalam
usaha membina dan mengembangkan sastera di negara ini seperti
mengumpulkan korpus sastera pengarangnya, penjanaan teori sastera serta
pengumpulan sejarah sastera.
“Perbandingan sastera tempatan dengan sastera negara lain juga perlu
diberi penekanan di samping penyelidikan dan penelitian sastera,
pendokumentasian sastera, pemasyarakatan sastera kepada semua kaum serta
pengantarabangsaan sastera tempatan,” katanya yang juga Pengarah
Penerbit USM.
Artikel dipetik daripada :
SINI
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
'
KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'