Isnin, 21 November 2011

DEWAN PERUNDINGAN PELAJAR TOLAK CUBAAN MEMINDA AUKU & KECAM SEKSUALITI MERDEKA

DPP5_WEB
Naib Canselor bersama-sama pelajar kurang penglihatan yang turut menjadi Pemerhati DPPUSM
PULAU PINANG, 19 November: Majoriti ahli-ahli Dewan Perundingan Pelajar (DPP) Universiti Sains Malaysia (USM) menolak usul untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebaliknya  meminta agar universiti tidak membenarkan parti politik memasuki dalam kampus serta menghormati idealisme mahasiswa.
Usul tergempar itu dikemukakan oleh seorang ahli DPP, Mohd. Iswandy Ishak dalam persidangan pertama DPP pada Sidang Akademik 2011-2011 yang bermula jam 9.00 pagi ini yang telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM. DPP USM mempunyai seramai 58 ahli yang boleh mengundi dan 51 orang pemerhati.
Usul tergempar tersebut dikemukakan untuk  meminta supaya Seksyen 15 AUKU dipinda untuk membenarkan penglibatan pelajar universiti dalam politik sama ada dengan bersimpati, menyokong atau menyertainya tanpa perlukan kelulusan pihak universiti.
Nik Mohamed Hussein Nik Ali, Speaker Dewan membenarkan usul tersebut dibahaskan dan kemudiannya dibuat pengundian.
Ahli-ahli DPP  telah membahaskannya selama kira-kira 40 minit yang sebahagian besarnya berpendapat  bahawa Seksyen 15 AUKU tidak wajar dipinda dan perlu dikekalkan kerana ia akan mengancam proses pembelajaran pelajar serta mengganggu ekosistem pengajian yang ada sehingga menjejaskan proses penjanaan dan pembangunan ilmu di kampus terutamanya dalam kalangan pelajar.
Seramai 46 orang ahli mengundi menolak usul tersebut, manakala 12 orang ahli menyokong.
Mengulas pandangan dan semangat yang dibawa oleh ahli-ahli Dewan pada hari ini, Nik Mohamed Hussein berkata, “Secara majoritinya kami berharap agar universiti memandang serius perkara ini dan jangan sama sekali membenarkan parti politik mengembangkan pengaruhnya secara langsung dalam kampus dengan mengajak siswa-siswi terlibat sama sehingga akhirnya idealisme mahasiswa akan terjejas dan terhakis.”
Ahli Dewan Muhammad Idzuan Jamalludin berpendapat jika AUKU dipinda ia akan mengancam keseluruhan ekosistem kampus yang ada sekaligus mengganggu proses pembelajaran kerana terikat dengan kepentingan politik berparti yang sukar untuk dikawal.
Katanya lagi, di universiti sudah cukup banyak ruang dan kebebasan yang diberi kepada siswa-siswi untuk mematangkan diri dan melibatkan diri dalam politik kampus yang bebas daripada ideologi mana-mana parti politik yang khusus sebaliknya berusaha membangunkan diri untuk menjadi pemimpin pada masa depan.
Tambah Muhammad Idzuan yang juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar USM, AUKU sebenarnya berusaha untuk mengekalkan kebebasan mahasiswa daripada diikat oleh mana-mana parti politik. Campur tangan pihak luar dikhuatiri akan memberi kesan besar kepada mahasiswa apatah lagi untuk bersikap bebas dan mencari kebenaran melalui proses penjanaan ilmu yang dilakukan selama ini.
Persidangan sehari ini, membahaskan 20 usul yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa, pembinaan surau di dewan kuliah, merit pelajar, ketelusan markah kerja kursus, menaik taraf komputer, masalah lalu lintas, perkhidmatan pergigian, meningkatkan kebajikan Orang Kelainan Upaya (OKU), pembentangan bajet APEX dan pengambilan suntikan HPV untuk pelajar.
Turut dibahaskan ialah isu penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang ditolak dan dikecam sekeras-kerasnya oleh ahli-ahli Dewan yang menganggapnya sebagai keterlaluan dan bertentangan dengan nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat yang beragama dan bermoral.
Dewan turut membincangkan dan meluluskan dengan pindaan usul tergempar yang meminta agar Universiti bersama-sama menangani isu graduan Pendidikan yang tidak diberikan penempatan untuk mengajar sebaliknya meminta supaya diadakan persefahaman dengan pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu mereka mendapat pekerjaan dan petempatan.
Dari 20 usul yang dibentang,  17 daripadanya diterima dan dibuat pindaan manakala selebihnya ditolak oleh ahli-ahli Dewan.
Persidangan DPP kali ini berakhir jam 6.30 petang ini.  DPP ditubuhkan pada tahun lalu oleh USM sebagai manifestasi dari Parlimen Mahasiswa yang memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk mengemukakan usul, memilih dan membahas untuk diterima atau ditolak tanpa campur tangan universiti.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: