Rabu, 2 November 2011

PELAJAR SENIBINA USM MENANG ANUGERAH REKABENTUK

usmarkitek
PULAU PINANG, 25 Okt – Dua pelajar Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP), Universiti Sains Malaysia (USM) muncul juara bagi kategori masing-masing dalam pertandingan Rekabentuk Seni Bina Pelajar 2011 yang diumumkan di sini semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan kedua-dua pemenang, Ow Yang Seok Tin (kategori A) dan Muhammad Taufik Abdul Wahab (B) membawa pulang hadiah utama RM 800, sijil penghargaan dan cenderamata, selain mewakili USM ke pertandingan peringkat kebangsaan di  Kuala Lumpur, bulan depan.
Seok Tin dan Muhammad Taufik dipilih berdasarkan konsep kreatif yang ditonjolkan dalam rekabentuk binaan mereka, masing-masing dengan model Pusat Seni Persembahan dan Pusat Pengajian Seni Bina Digital Antarabangsa Malaysia yang dilakarkan dalam lakaran digital tiga dimensi.
Selain mereka, pemenang tempat kedua iaitu Chuu Chee Keong (A) dan Cynthia Yong Hwa Sieng (B) turut terpilih untuk menyertai pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan dan berentap dengan universiti lain termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sebagainya.
Kategori A memperuntukkan penyertaan dalam kalangan para pelajar tahun tiga jurusan Seni Bina USM manakala B pula diwakili pelajar tahun lima jurusan tersebut.
Dekan PPPBP, Prof. Ir. Dr. Mahyuddin Ramli berkata, pertandingan yang didadakan setiap tahun itu memperlihatkan kecemerlangan para pelajar PPPBP dan komitmen mereka dalam menghasilkan hanya yang terbaik untuk menaikkan nama universiti.
Katanya, PPPBp sentiasa memberi peluang kepada pelajar untuk mengenengahkan bakat mereka khususnya dalam pertandingan seumpama ini yang juga dilihat sebagai satu peluang keemasan untuk mereka mendedahkan diri dengan persekitaran di luar bilik kuliah.
``Ini satu pendedahan yang baik yang dapat meningkatkan kemahiran dan menjana minda pelajar untuk meluahkan idea bernas khususnya yang berkait dalam bidang rekabentuk dan pembinaan,’’ katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian hadiah di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Operasi United Asbestos Cement Berhad (UAC) selaku penaja dan penganjur utama, Tey Long Puang.
Pertandingan yang disertai oleh para pelajar seni bina USM itu bertemakan ‘Build Green for A Sustainable Future’ dan meletakkan kriteria utama seperti pengunaan bahan mentah yang boleh diguna semula, jimat tenaga, guna tenaga diperbaharui dalam pemilihan pemenang.
Rekabentuk Pusat Seni Persembahan dan Pusat Pengajian Seni Bina Digital Antarabangsa oleh dua pelajar, masing-masing yang diperincikan dengan teknologi hijau dan mesra alam nyata membawa tuah kepada dua pelajar Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia



Tiada ulasan: