Isnin, 21 November 2011

TUANKU CANSELOR HARGAI JASA MANTAN NC

usmtansri
PULAU PINANG, 10 Nov – Tuanku Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menyampaikan titah penghargaan baginda kepada mantan Naib Canselor USM, Prof, Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak di sini baru-baru ini.
Titah baginda, Dzulkifli disifatkan sebagai salah seorang pemimpin yang mempunyai karakteristik kepimpinan yang cemerlang dan sumbangan beliau sepanjang meneraju USM hampir 11 tahun tidak terucap hanya dengan ucapan terima kasih.
Baginda bertitah, selain mempunyai karisma tinggi, Dzulkifli turut dikenali sebagai seorang pemimpin yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada kakitngan khususnya jika berlaku sebarang kesulitan dan sebagainya.
``Walaupun beliau sudah tidak lagi bergelar Naib Canselor USM, namun saya berharap beliau dapat kembali ke USM untuk berbincang dan memberi tunjuk ajar, buah fikiran dan cadangan bernas untuk manfaat universiti ini,’’ titah baginda sempena keberangkatan ke majlis Sanggar Sanjung Mantan Naib Canselor itu di sini baru-baru ini.
Majlis yang dianjurkan khas bagi menghargai sumbangan besar yang telah dilaksanakan Dzulkifli sepanjang bergelar Naib Canselor itu turut dihadiri Ahli-ahli Lembaga Gabenor Universiti, Naib Canselor dan Pegawai-pegawai utama universiti.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman pula berkata, USM amat terhutang budi kepada Dzulkifli yang telah bekerja keras dan tidak pernah jemu dalam menjadikan USM sebagai model ikutan dan pakar rujuk kepada pemikiran masa depan.
Katanya, Dzulkifli juga sering memberikan motivasi, mempunyai pemikiran yang berbeza dan bersedia melakukan eksperimen terhadap apa jua perkara yang diyakininya.
``Antara yang segar dalam ingatan sehingga kini adalah perkataan lestari yang menjadi makin sinonim dengan universiti, yang bermula dari ucapannya sehingglah ia kini meniti dalam percakapan mahu pun pemikiran pelbagai pihak dari dalam mahu pun luar negara.
``Beliau percaya kepada keperluan untuk melihat masa hadapan dan yakin bahawa kita perlu sentiasa merancang dan positif dalam menentukan hala tuju, kehidupan dan senario yang akan ditepuhi pada masa depan,’’ katanya.
Tambah Omar, jasa dan sumbangan Dzulkifli juga amat besar khususnya dalam menggerakkan universiti untuk muncul sebagai satu-satunya universiti di negara ini yang diberi mandat untuk menggalas amanah sebagai universiti APEX (program Pemacuan untuk Kecemerlangan).
``USM sentiasa melihat peluang untuk terus bekerjasama dengan beliau dan sedia menerima pemikiran, teguran serta pandangan demi masa depan universiti ini,’’ katanya dalam majlis yang turut menyajikan pelbagai persembahan yang menyingkap pengorbanan dan memori bersama Dzulkifli di USM itu.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: