Isnin, 21 November 2011

MUSTAFA MANSUR TOKOH INDUSTRI PERTAMA MALAYSIA TERIMA ANUGERAH COMMANDER OF THE CIVIL MERIT SEPANYOL

PNSPANISH_-_WEB
KUALA LUMPUR, 9 November 2011: Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, ahli Lembaga Gabenor, Universiti Sains Malaysia mencatat sejarah apabila menjadi antara rakyat Malaysia pertama di negara ini yang terpilih menerima anugerah ‘Commander of the Civil Merit’ dari King Juan Carlos dari Sepanyol.
Anugerah tersebut yang diberikan sebagai penghargaan di atas sumbangan beliau di dalam menggalakkan perdagangan dua hala, pelaburan dan hubungan perniagaan antara Malaysia dan Sepanyol disampaikan oleh Duta Sepanyol ke Malaysia, Maria Bassols dalam satu majlis khas di Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu.
Mustafa yang juga Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) sebelum ini pernah menerima satu lagi anugerah negara luar iaitu ‘Grand Officiale of the Order of Solidarity’ dari Itali pada tahun 2006.
Selain Mustafa, Dato’ Mohd Zain Mohd Dom, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut menerima anugerah yang sama di majlis tersebut.
Menurut Maria, Mustafa telah memainkan peranan penting di dalam penubuhan Dewan Perniagaan Sepanyol-Malaysia di mana beliau turut menjadi pengerusi bersama.
Mustafa ketika berucap berkata sukan boleh menjadi aset penting di dalam pengukuhan hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan Sepanyol.
“Dalam kes ini, bola sepak misalnya adalah acara yang mempunyai ramai peminat di kedua-dua negara. Sepanyol mungkin dapat memikirkan kemungkinan untuk membawa kelab terkenal Real Madrid dan Barcelona yang sememangnya telah menjadi jenama Sepanyol yang cukup terkenal di negara ini,” kata beliau.
Mustafa, anak kelahiran Padang Gajah, Larut Matang, Perak adalah alumni USM setelah tamat pengajian di universiti ini pada tahun 1976 dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) (Sains Politik). Selain menunjukkan ketokohan dalam dunia korporat, beliau turut mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang sukan khususnya hoki, ragbi, bola sepak dan kriket.
Beliau dilantik sebagai ahli Majlis USM sejak tahun 1978 sehingga 1999 dan kemudiannya menjadi ahli Lembaga Pengarah USM dari tahun 1999 sehingga kini (Lembaga Pengarah kini dikenali sebagai Lembaga Gabenor USM).
Sebagai mengiktiraf sumbangan dan ketokohan beliau di dalam memajukan sektor perindustrian negara, beliau turut dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi oleh USM di Upacara Konvokesyen Ke-35 pada tahun 2006. 

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: