Isnin, 21 November 2011

PPSK RANGKUL ANUGERAH INOVASI NEGARA

PULAU PINANG, 17 Nov – Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) melakar kejayaan membanggakan apabila dinobat sebagai penerima Anugerah Inovasi Negara (AIN) kategori Perkhidmatan di Kuala Lumpur, semalam.
Kumpulan yang dikenali dengan nama Lestari itu tampil dengan inovasi unik kerusi roda yang boleh diubahsuai menjadi katil untuk kegunaan pesakit yang sedang dalam proses rawatan pemulihan.
Lestari dibarisi sekumpulan kakitangan PPSK yang terdiri daripada kakitangan pelbagai peringkat termasuk sokongan sehingga membawa kepada penglibatan pensyarah.
Kejayaan PPSK mengenepikan cabaran lebih 300 kumpulan lain yang datang dari seluruh pelusuk negara yang mewakili jabatan/agensi masing-masing itu turut membuktikan keupayaan jabatan tersebut dalam mendukung asspirasi universiti dengan perkhidmatan yang berkualiti dan inovatif.
AIN diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan (NICE 2011), bertujuan untuk mengiktiraf usaha inovasi dan kreativiti yang menjana idea, ciptaan dan produk siap dalam sains dan teknologi serta menyumbang dalam pembangunan ekonomi negara.
Empat kategori utama yang dipertandingkan adalah produk, perkhidmatan, akar umbi dan sekolah yang mana setiap pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai dari RM 10,000 ke RM 50,000, piala dan sijil penghargaan.
PPSK terdahulu muncul antara 10 agensi terbaik yang dipilih sebagai finalis sebelum diisyhtihar pemenang, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 50,000. piala serta sijil yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam. 

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: