Isnin, 21 November 2011

DUA PROGRAM SARJANA USM DIIKTIRAF ANTARA 100 PROGRAM SARJANA TERBAIK DUNIA

EDUNIVERSAL
PULAU PINANG, 17 NOVEMBER 2011: Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pembangunan Lestari) dan Sarjana Sains (Pembangunan Perlancongan) Universiti Sains Malaysia (USM) tersenarai antara 100 program pengajian terbaik dunia di peringkat ijazah sarjana.
Pengiktirafan tersebut diberikan oleh laman web ‘Eduniversal Ranking of the Best Masters and MBA Programs Worldwide 2001’ yang berpusat di Paris, Perancis mengikut makluman Pengarah Kerjasama Antarabangsa Eduniversal, Marie-José SUEIRO.
Kedua-dua program berkenaan tersenarai di bawah kelompok ‘Top 100 Best Masters in Tourism and Hospitality Management Global Ranking’ yang dibangunkan oleh Eduniversal hasil penyelidikan selama 18 bulan ke atas 12,000 program pengajian sarjana di 1,000 buah pusat pengajian perniagaan di seluruh dunia.
Selain kedua-dua program berkenaan, tiga lagi program pengajian ijazah sarjana di USM iaitu Sarjana Sastera (Komunikasi), Sarjana Sains (Pengurusan projek) dan Sarjana Pengurusan turut tersenarai sebagai antara antara 200 Program Sarjana Terbaik di bawah kelompok yang sama.
Pemilihan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Saintifik Antarabangsa Eduniversal berdasarkan tiga kriteria iaitu reputasi program pengajian yang ditawarkan, kadar gaji pertama yang diterima oleh graduan program berkenaan dan kepuasan pelajar.
Dalam laman web yang sama, Pusat Pengajian Pengurusan USM turut diiktiraf sebagai antara pusat pengajian perniagaan terbaik di Malaysia.
Senarai program ijazah sarjana terbaik mengikut penarafan Eduniversal boleh didapati di laman web www.eduniversal-ranking.com
Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


Tiada ulasan: