Isnin, 21 November 2011

USM BERHASRAT WUJUDKAN DPP SEDUNIA

PULAU PINANG, 19 Nov – Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk meneroka peluang bagi melaksanakan satu Dewan Perundingan Pelajar (DPP) di peringkat dunia bagi meningkatkan martabat ilmu dan memperkasakan mahasiswa secara holistik.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, sudah tiba masanya mahasiswa universiti berfikiran di luar kotak bagi membezakan mereka dengan pihak lain, sekaligus membuktikan berada pada tahap yang tinggi dalam bidang yang dimulakan dan menjadi kekuatan universiti.
Katanya, dalam konteks DPP, mahasiswa disaran untuk lebih proaktif dengan pengaplikasian konsep diplomasi ilmu untuk menjadikan sebahagian Ahli Dewan yang melibatkan juga kepentingan pelajar antarabangsa.
``Kita perlu memperkasakan DPP dan tampil unik serta berbeza dengan orang lain. Cadangan DPP sedunia dilihat signifikan untuk membincangkan pelbagai isu-isu yang melibatkan kepentingan pelajar antarabangsa baik di sini atau di luar sana,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pembukaan Rasmi DPP USM di sini hari ini. Persidangan ini adalah yang pertama untuk sidang pengajian 2011/2012 dan menjadi kesinambungan kepada  usaha yang telah dimulakan tahun-tahun sebelumnya.
Omar turut berkata, DPP yang menjadi manifestasi kepada parlimen mahasiswa adalah medan untuk para pelajar memberi, menerima, memilih usul, berdebat dan berbahas secara sihat serta membuat keputusan secara mandiri tanpa campur tangan universiti mahupun pihak lain.
Tambah beliau, ia juga adalah satu proses transformasi untuk memberi makna kepada kebebasan yang menjadi sebahagian daripada autonomi terpimpin dan berakauntabiliti, yang pada akhirnya dapat membentuk sahsiah dan cara hidup siswa-siswi.
``Saya juga ingin mengingatkan bahawa apa jua yang kita lakukan termasuk mengamalkan nilai-nilai kebebasan harus berteraskan kepada prinsip hormat-menghormati. DPP yang mengambil semangat kebebasan bersuara, berbahas dan berdebat perlu berpegang kepada prinsip itu.
``Dalam tindakan kita, batas etika dan sempadan yang mebawa kepada kekeruhan hubungan, kekeliruan, tindakan peribai dan melayan perasaan sendiri perlu dielakkan,’’ katanya.
Beliau turut memberi penringatan kepada Ahli Dewan untuk tidak berpuas hati dengan perkara yang telah dicapai kerana ia dikhuatiri membawa seseorang ke jurang bahaya.
``Bersikap selesa hanya akan mengherat kita untuk berhadapan dengan masalah yang tidak sepatutnya dan oleh kerana itu mahasiswa perlu melihat dan menghayati motto USM iaitu Kami Memimpin dengan sepenuh hati,’’ jelas beliau.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: