Selasa, 8 November 2011

EMPAT GRADUAN CEMERLANG USM TERIMA ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA DARI CANSELOR USM

DSC_0476
ARAU, 2 November 2011: Empat pelajar cemerlang Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima Anugerah Pelajaran Diraja Majlis Raja-Raja Malaysia di Istana Arau, Perlis.
Hadiah berkenaan disampaikan oleh D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin  Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis yang juga Canselor USM.  
D.Y.M.M. Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis, D.Y.T.M. Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan D.Y.T.M. Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Dato’ Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Empat pelajar berkenaan Nur Izzati Amir Hamzah, Ramanathan A.M.N. Thiagarajan, Mohammad Rahim Kamaluddin dan Karen Voon Kai Rou masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, Pingat Jaya Cemerlang dan sijil.
Nur Izzati dan Ramanathan adalah penerima anugerah berkenaan di Upacara Konvokesyen Ke-42 tahun lalu manakala Mohamad Rahim dan Karen adalah penerima di Upacara Konvokesyen Ke-44 tahun ini.
Ketika ditemui, Nur Izzati, anak kedua dari empat beradik yang berasal dari Pulau Pinang berkata kejayaan beliau ini adalah hasil daripada doa dan sokongan keluarganya. Beliau kini berkhidmat di Institut Pengajian Siswazah USM dalam beberapa projek khas termasuk di universiti ini.
Ramanathan pula yang kini berkhidmat sebagai juruaudit di sebuah firma audit antarabangsa di Kuala Lumpur berkata beliau berpegang kepada prinsip keseimbangan kerana pelajar perlu bijak menyeimbangkan masa di antara pembangunan ilmiah dan pembangunan diri yang kedua-duanya sama penting jika ingin benar-benar berjaya. Ramanathan kini melanjutkan pengajian profesional akauntan bertauliah, Institute Chartered Accountant England and Wales di Universiti Sunway dan berharap untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah suatu hari nanti.
Mohammad Rahim yang turut bersetuju dengan Ramanathan menjadikan perkongsian bersama rakan sekuliah sebagai resepi kejayaan beliau. Menurut beliau perkongsian ini bukan sahaja akan dapat membantu rakan-rakan lain malah turut menambah pengetahuan beliau dalam bidang forensik yang beliau ikuti di USM sebelum ini. Mohamad Rahim kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kriminologi di Pusat Pengajian Sains Kesihatan.
Sementara itu, Karen yang baru pulang dari mewakili USM di British Invention Show di London menyifatkan kejayaan ini sebagai pendorong untuk beliau terlibat secara aktif di dalam bidang penyelidikan. Anak kedua daripada tiga beradik ini kini berkhidmat sebagai Doktor Pergigian di Kuching, Sarawak.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Dato’ Seri Dr. Md Isa Sabu, Menteri Besar Perlis, Prof. Emeritus Dato’ Dr. M. Zawawi Ismail, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Prof. Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM dan ahli-ahli Lembaga Gabenor USM.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


Tiada ulasan: