Sabtu, 30 Julai 2011

PENGUMUMAN: BANTUAN KEWANGAN SOSIOEKONOMI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, semalam saya telah berjumpa dengan Pn. Fauziah, pegawai psikologi di Sektor Kesejahteraan Pelajar untuk berbincang dengan beliau mengenai keputusan bantuan sosioekonomi yang telah ditawarkan kepada mahasiswa USM pada penghujung semester yang lepas.

Menurut beliau, seramai 265 orang mahasiswa telah berjaya terpilih mendapat bantuan tersebut. Setiap daripada mereka akan menerima wang tunai sebanyak RM500.00 seorang dan wang tersebut akan diperolehi pada semester hadapan. 

Namun demikian, beliau memaklumkan bahawa kemungkinan akan berlaku sedikit perubahan untuk senarai mahasiswa yang berjaya menerima tawaran ini berdasarkan beberapa sebab, antaranya ialah kepada mahasiswa yang sudah menamatkan pelajarannya di USM. Mereka ini sudah tidak layak lagi untuk mendapatkan bantuan ini. Hal ini mungkin terjadi kerana bantuan ini telah ditawarkan pada semester lepas dan ramai mahasiswa telah memohon bantuan ini, termasuklah mahasiswa yang sudah berada pada semester akhir dan yang akan bergraduasi pada bulan September ini. Oleh itu, mahasiswa terbabit sudah tidak layak untuk mendapatkan bantuan ini. 

Berdasarkan maklumat daripada Pn. Fauziah juga, keputusan yang diambil untuk pemilihan ini adalah berdasarkan kepada kelayakan taraf pendapatan keluarga yang berpendapatan sebanyak RM500.00 ke bawah. Maka, hanya mahasiswa yang layak sahaja yang layak untuk mendapatkan bantuan ini. 

Kepada mahasiswa yang akan memperolehi bantuan ini, anda akan dihubungi terus oleh pihak Sektor Kesejahteraan Pelajar untuk urusan kemasukan wang nanti. Diharapkan anda semua dapat bersabar dan menunggu maklum balas dari pihak mereka nanti. 

Berdasarkan maklumat daripada Pn. Fauziah juga, bantuan sosioekonomi ini juga akan dibuka untuk kali kedua pada semester baru nanti. Permohonan kedua ini akan dibuka kepada mahasiswa tahun pertama yang bakal mendaftar masuk di USM pada bulan September ini. Oleh itu, kepada bakal mahasiswa baru, anda boleh memohon bantuan ini apabila sudah mendaftar sebagai mahasiswa USM. Permohonan tersebut akan dibuka pada semester hadapan dan anda bolehlah merujuk kepada laman web BHEPP untuk sebarang maklumat lanjut. 

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Sektor Kesejahteraan Pelajar atas kerjasama dan layanan yang sangat baik yang telah diberikan. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pn. Fatimah iaitu staf Sektor Kesejahteraan Pelajar yang akan bersara dan semalam merupakan hari terakhir beliau berkhidmat di USM. Tahniah diucapkan atas sumbangan beliau selama beliau bertugas di USM. 

Akhir kata, saya mewakili seluruh MPPUSM mengucapkan tahniah kepada mahasiswa yang telah berjaya mendapat bantuan ini dan diharapkan agar anda dapat menggunakan wang tersebut dengan sebaiknya. Semoga dengan wang ini dapat membantu anda menyelesaikan masalah anda. Kepada yang tidak berjaya, diharap anda tidak kecewa dan jika anda mempunyai sebarang masalah mengenai kewangan bolehlah maklumankan. Insyallah tindakan yang sebaiknya akan diambil untuk membantu anda. 

Sekian, Terima Kasih.



"Kelestarian Teras Pembangunan Insaniversiti'


Daripada:
SITI NUR ATIKAH BINTI SHAMSUDDIN  
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/2011
Pusat Pengajian Sains Fizik
Exco Akademik, Kerjaya & Masyarakat.

Jumaat, 29 Julai 2011

WUJUD SISTEM SOKONGAN BAGI MANTAPKAN WANITA

PULAU PINANG, 29 Jul – Satu sistem sokongan yang menyeluruh disifatkan sangat kritikal untuk diwujudkan bagi membolehkan golongan wanita memberi tumpuan di sektor kerjaya, khususnya ketika mereka berdepan dengan kepentingan menguruskan keluarga.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (Kanita), Profesor Datin Rashidah Shuib berkata, sistem sokongan tersebut sangat diperlukan bagi memberi ruang kepada golongan wanita menyumbang dengan lebih baik di sektor kerjaya.

Katanya, antara langkah yang boleh direalisasikan meliputi dua teras utama termasuk menyediakan satu kemudahan untuk membolehkan wanita meletakkan anak di bawah jagaan pihak profesional di tempat kerja.

Katanya, langkah kedua adalah dengan mewujudkan satu polisi khusus yang melihat kepada kepentingan mesra keluarga yang memberi ruang kepada wanita untuk menjalankan kedua-dua tanggungjawab kerjaya dan keluarga tanpa didiskriminasi.

``Isu keluarga adalah sangat penting untuk diberi penumpuan kerana anak-anak kecil ini juga adalah aset kepada negara satu hari nanti. Ia terbukti apabila negara yang mempunyai kadar kelahiran yang rendah kini sedang berdepan dengan masalah besar.

``Justeru, langkah yang lebih efektif dan berhemah perlu diambil dalam menangani isu ini supaya pada akhirnya negara beroleh manfaat daripada satu sistem yang memberi fleksibiliti kepada semua pihak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran seminar bersama di antara USM dengan Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia berkenaan topik Towards Good Governance & Leadership: Decent Livelihood For Women yang dirasmikan Pemangku Naib Canselor, Prof. Dato’ Susie See Ching Mey di sini hari ini.

Tambah beliau, statistik menunjukkan penurunan mendadak bilangan wanita yang menyumbang dalam sektor kerjaya  apabila mereka melewati umur 28 ke 30 tahun.

Katanya, faktor utama yang menyumbang kepada penurunan itu disebabkan golongan wanita terpaksa menguruskan infrastruktur untuk menyokong pembangunan keluarga yang turut disifatkan tidak kurang penting untuk masa depan negara.

``Justeru, kekangan ini menyebabkan wanita terpaksa korbankan kerjaya mereka dan ini menjadi satu kerugian buat negara khususnya dari aspek tenaga kerja mahir yang mempunyai kelayakan akademik lebih tinggi.

``Jika kita lihat di universiti bilangan wanita diketahui lebih dari lelaki namun apabila sampai satu tahap setelah mereka memasuki alam kerjaya, jumlah ini menurun dan satu langkah proaktif perlu diambil bagi menangani isu ini,’’ katanya.

Sementara itu, Susie  pula dalam ucapannya berkata, seminar sehari itu dilihat satu usaha yang baik khususnya dalam melihat dengan terperinci isu-isu yang berhubungkait dengan peranan wanita dalam aspek kepimpinan dan tadbir urus dalam sesebuah organisasi.

Katanya, peranan universiti khasnya akademia bukan sekadar melihat isu ini sebagai satu ilmu semata-mata, sebaliknya mereka perlu menggunakan penemuan dan pengetahuan untuk membantu negara menangani setiap permasalahan melibatkan isu gender.

``Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak persamaan khususnya dalam isu yang dibincangkan dan diharap melalui seminar ini, kedua-dua pihak dapat membuat satu rumusan yang memberi manfaat kepada negara,’’ katanya.



Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Rabu, 27 Julai 2011

USM KUKUHKAN KOLABORASI SERANTAU

usmindo


PULAU PINANG, 27 Jul – Universiti Sains Malaysia (USM) mengukuhkan kolaborasinya dengan universiti di rantau Asean apabila tiga memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) ditandatangan di sini hari ini.

Universiti yang terlibat adalah Universitas Muhammadiyah Yogyakarta dan Universitas Sebelas Maret (UNS), masing-masing dari Indonesia serta Prince of Songkla University (PSU), Thailand.

Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak berkata, fokus MoU/MoA berkenaan diberikan kepada usaha meningkatkan pencapaian dalam tiga bidang utama termasuk sains, kejuruteraan dan sains kemasyarakatan.

Katanya, teknologi getah dan polimer adalah antara bidang tumpuan yang akan  diperkukuhkan dalam aspek kejuruteraan, selain turut melihat kepada potensi perkongsian akademik dalam bidang sains dan sains kemasyarakatan.

``Kerjasama ini memperlihatkan saling pertukaran maklumat, pendapat dan penyelidikan di antara universiti dalam membina keupayaan modal insan untuk masa depan serta menjalankan pembangunan penyelidikan (R&D) yang relevan kepada masyarakat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus tamat majlis penandatangan MoA/MoU itu. Turut hadir ialah Rektor UMY, Ir. HM Dasron Hamid, Rektor  UNS, Prof. Dr. Ravik Karsidi serta Presiden PSU, Prof. Madya Dr. Boonsom Siribumrungsuhka.

Tambah beliau, kerjasama di antara keempat-empat universiti turut disifatkan sebagai satu langkah proaktif ke arah mewujudkan ruang perkongsian maklumat dan kepakaran, selain mengeratkan hubungan serantau.

Tambah beliau, kerjasama dengan UMY misalnya akan memperlihatkan usaha ke arah memperkukuhkan pencapaian akademik melalui aktiviti seperti pertukaran pelajar, pensyarah dan sebagainya.

``Diharapkan kolaborasi sumpama ini dapat memupuk kesefahaman di antara semua pihak dan dalam masa yang sama dapat memberi impak dan input yang boleh membantu masyarakat dalam segala hal,’’ katanya.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Isnin, 25 Julai 2011

USM TERIMA DANA PENYELIDIKAN RM 34.6

PULAU PINANG, 25 Jul – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima dana berjumlah kira-kira RM34.6 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) khusus bagi meningkatkan pencapaian dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Dana yang disalurkan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 itu membabitkan beberapa cabang penyelidikan utama termasuk fundamental, kluster penyelidikan berimpak tinggi serta insentif penyelidikan.

Daripada jumlah tersebut, RM24 juta diberikan kepada empat projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) Top-Down dan Bottom Up yang mana setiap satu penyelidikan menerima pembiayaan RM6 juta.

Selain itu, sejumlah RM6.5 juta pula diagihkan kepada 59 projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundemental (FRGS) dan kira-kira RM4.1 juta pula diberikan kepada 45 projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Eksploratori (ERGS).

Agihan itu adalah sebahagian daripada dana penyelidikan berjumlah RM741 juta yang diperuntukkan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) tanah air, bertujuan meningkatkan pencapaian IPT dalam penyelidikan dan inovasi yang mampu memberi impak kepada negara.

Majlis pelancaran dana tersebut disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memetik kenyataan Mohamed Khaled, beliau berkata, penyerahan dana kepada institusi pengajian tinggi (IPT) dilihat dapat memperkukuhkan peranan IPT sebagai pemain utama dalam hub inovasi.

Katanya, ia turut menjadi langkah proaktif kerajaan dalam membantu merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Jumaat, 22 Julai 2011

SEKOLAH, UNIVERSITI PUNYA PERANAN MAJUKAN STM

usmgood




SEKOLAH, UNIVERSITI PUNYAI PERANAN DALAM STM

PULAU PINANG, 22 Jul – Sekolah dan universiti mempunyai peranan masing-masing dalam melihat dan mengkaji semula isu yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek Sains, Teknologi dan Matematik (STM).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, situasi semasa memperlihatkan negara sedang berhadapan dengan beberapa masalah dalam matapelajaran tersebut khususnya yang melibatkan penguasaan, prestasi dan sebagainya.

Katanya, sekolah memainkan peranan dalam melihat semula proses P&P termasuk menilai keberkesanan teknik P&P yang digunakan, masalah yang dihadapi pelajar ketika mempelajari subjek berkenaan dan juga kelemahan-kelemahan lain yang boleh diatasi.

``Universiti pula berperanan dalam menumpukan kepada falsafah, sejarah dan  kandungan matapelajaran termasuk menyeru para pensyarah untuk bukan sekadar mengajar subjek tersebut sebaliknya mengkaji perkara yang diajar,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan syarahan bertajuk Decolonising History: Goobye Euclid oleh Pensyarah Kunjungan di Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor C. K. Raju di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S M Mohamed Idris, Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Prof. Dato’ Omar Osman.

Tambah Saifuddin, ada dua isu utama yang perlu diberi perhatian dalam menangani perkara itu khususnya bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam merealisasikan harapan untuk bergelar sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Katanya, isu kedua adalah untuk melihat tidak ada lagi individu atau sesiapapun di negara ini berhadapan dengan masalah keputusan dan pencapaian yang tidak memuaskan dalam matapelajaran tersebut.

``Pihak kementerian melalui satu kumpulan penyelidik sedang membuat kajian bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan baik dan ia diharap boleh mewujudkan kaedah baru yang lebih praktikal dan berkesan dalam P&P subjek itu,’’ katanya.

Sementara itu, syarahan Decolonising History: Goodbye Euclid antaranya memfokuskan kepada perbincangan berkenaan ikon barat yang juga terkenal dengan gelaran Bapa Geometri, Euclid yang dikatakan tidak wujud dan hanya mainan barat dalam membuktikan kehebatan tamadun mereka.

Syarahan ini juga bertujuan menjadi platform kepada universiti sebagai sebuah gedung ilmu menyebarkan ilmu yang diperoleh kesan dari pembacaan dan kajian tokoh-tokoh ilmuan dalam melihat sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan menyeluruh.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Penjualan Borang Lot Niaga ConvEx 2011



Penjualan Borang Lot Niaga adalah pada 18-24 Julai 2011 bertempat di Kompleks Cahaya Siswa, USM. Pelajar USM adalah digalakkan untuk terlibat sama dalam memeriahkan lagi Ekspo Konvokesyen. Anda dipelawa untuk membuka lot-lot niaga sama ada atas tiket kelab/persatuan ataupun atas nama individu. Sekiranya ada masalah untuk mendapatkan borang, kami menyediakan perkhidmatan pengeposan borang ke alamat rumah anda. Sebarang maklumat atau kemusykilan boleh hubungi kami di talian 04-6533323 / 04-6533324. Sekian, terima kasih.


Mohd Akmal Md Muslim
Jabatan Koridor Niaga
Sekretariat Ekspo Konvokesyen 2011



Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/11

Khamis, 21 Julai 2011

ARTIKEL: WANITA DAN NEGARA

Dunia hari ini memperlihatkan penglibatan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira jantina perlu berusaha sedaya mampu untuk memajukan negara termasuklah dalam bidang pentadbiran awam. Dahulunya, wanita dilihat sebagai individu yang lemah dan tidak layak untuk membuat keputusan bagi sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan organisasi apatah lagi memegang kuasa.


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan sudah meluluskan dasar 30% wanita diberikan tempat di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat. Menurut beliau, jemaah menteri telah bersertuju dengan permohonan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya lebih ramai wanita berkelayakan diberi peluang menjadi ahli lembaga pengarah syarikat. Sehubungan itu, pihak korporat diberikan tempoh peralihan lima tahun untuk meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan tertinggi di syarikat masing-masing.

Perdana Menteri juga menjelaskan, pada masa ini hanya 13% wanita telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah pada 2010 di syarikat Menteri manakala 200 buah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia sehingga November 2010 hanya 7.6% wanita dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Bagi memastikan dasar ini berkesan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama badan-badan seperti Khazanah Nasional Berhad, Malaysian Allieance of Corporate Directors akan merangka program latihan bagi menyediakan wanita yang berpotensi untuk dilantik ahli lembaga pengarah.

Pengikhtirafan ini bukan menjadikan wanita itu hebat dari lelaki tetapi menunjukkan bahawa kaum wanita juga mempunyai keistemewaan dalam memberi pendapat dan membuat keputusan. Islam telah lama mengangkat martabat wanita ke peringkat yang tinggi. Wanita sentiasa diberikan peluang untuk menyuarakan pendapat jika mereka melihat terdapat keperluan untuk berbuat demikian. Kadang-kadang stigma dalam masyarakat yang menafikan hak wanita untuk bersuara dan membuat keputusan bukan agama yang patut dipersalahkan. Jika tidak, masakan Saidatina Aisyah menjadi tempat rujukan para sahabat mengenai permasalahan agama dan terdapat wanita yang pernah mempersoalkan keputusan Saidina Umar Al-Khattab.

Sebagai kesimpulannya, wanita serta golongan mahasiswi perlu mengambil peluang dalam proses ‘decision making’ seoptimum mungkin bagi memastikan isu-isu mengenai wanita dan mahasiswi diberi perhatian dan tindakan sewajarnya. Menurut The Beijing Platform for Action, 1995: “…women’s equal participation in decision-making is not only a demand for simple justice or democracy but can also be seen as a necessary condition for women’s interests to be taken into account. Without the active participation of women and the incorporation of women’s perspective at all levels of decision-making, the goals of equality, development and peace cannot be achieved…”

Artikel Oleh:
Nurul Husna Binti Omar
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/2011
Pusat Pengajian Sains Kajihayat
Exco Pembangunan Lestari & Kampus Sejahtera

USM bantu sekolah tubuh Kelab Neurosains

KOTA BHARU 19 Julai - Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah dengan menubuhkan Kelab Neurosains di peringkat sekolah dalam usaha memacu pembangunan modal insan negara di bidang sains.

Sebagai permulaan, USM melalui Kampus Kesihatannya di sini, bekerjasama dengan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3 bagi menubuhkan kelab tersebut.

Penubuhan kelab itu antara lain bertujuan mendedahkan pelajar dengan ilmu sains neuro yang diharap mencetus minat mereka dalam bidang berkenaan yang menjadi pemangkin kepada kejayaan Malaysia mencapai Wawasan 2020.

Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Prof. Datuk Susie See Ching Mey berkata, penubuhan kelab itu mengukuhkan kerjasama antara pihak universiti dengan sekolah dalam mempromosikan pendidikan terutama bidang perubatan dan sains neuro.

"Ia juga sebagai usaha penting dalam menyediaka sumber tenaga kerja bagi memastikan pembangunan dan kejayaan dalam penyelidikan neurosains berterusan pada masa hadapan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kelab tersebut di Dewan Siswa USM Kampus Kesihatan di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat USM Kampus Kesihatan, Kol. (B) Dr. Wan Pauzy Wan Ibrahim; Ketua Jabatan Neurosains, Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah; Pengetua SMSTMFP, Kamarudin Jaafar dan Guru Besar SK Kubang Kerian 3, Seri Dewi Mohd. Ibrahim.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pihaknya berbesar hati kerana USM memilih sekolah berkenaan bagi menubuhkan kelab tersebut yang ternyata menarik minat pelajar.

Jelasnya, Kelab Neurosains sekolah telah mewujudkan blog sendiri iaitu farisneuroscience. blogspot dan antara pengisiannya termasuk memuatkan informasi mengenai sains neuro, kegiatan ahli kelab, sejarah penubuhan, laporan aktiviti dan maklumat berkaitan sekolah.

Seri Dewi pula berkata, penubuhan kelab itu merupakan pelaburan jangka panjang bagi mempromosikan bidang sains khususnya sains neuro di kalangan murid peringkat rendah.

"Usaha ini menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif dalam melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berpengetahuan dan berketerampilan," katanya.

Artikel dipetik daripada : SINI.


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

PELAJAR USM WAKILI NEGARA KE YPLC DI BRAZIL

Nor Fasihah Zaaba (kiri sekali), Muhammad Ghaddafi Affendy dan Soo Mun Teng berjaya mewakili negara ke pertandingan Young Person's Lecture Competition (YPLC) 2011 peringkat dunia di Brazil.


PULAU PINANG, 12 Jul – Pelajar tahun pertama ijazah Sarjana dari Universiti Sains Malaysia (USM) melakar kejayaan manis apabila terpilih mewakili negara ke pertandingan Young Person's Lecture Competition (YPLC)  2011 peringkat dunia di Brazil, September depan.

Muhammad Ghaddafi Affendy, 25, terpilih sebagai wakil tunggal negara ke pertandingan berprestij itu setelah berjaya mengenepikan cabaran lima peserta lain yang bersaing merebut tempat dalam YPLC peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Pertandingan yang menyaksikan kepintaran dan kepetahan peserta dalam melontarkan pengetahuan dalam bidang sains kejuruteraan itu diadakan dengan kerjasama Institute of Materials, Minerals and Mining (IOM3).

Pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Mineral,USM itu menyampaikan persembahan beliau bagi memperkenalkankan inovasinya yang bertajuk `Sago Gel Zink Air Battery’ dengan cara tersendiri dan terpilih mendahului peserta di tempat kedua dan ketiga iaitu Nor Fasihah Zaaba 24 dan dan Soo Mun Teng, 26.

Gaddafi berkata, beliau sama sekali tidak menyangka akan muncul juara bagi pertandingan itu kerana berpendapat saingan dari para peserta amat sengit dan kesemuanya menampilkan keunikan tersendiri.

Katanya, kemenangan yang diraih bukan sahaja dilihat sebagai satu kebanggaan dalam pencapaian dirinya malah turut diiringi tanggungjawab besar yang akan digalas dalam mempertaruhkan nama universiti dan negara di Young Person’s world Lecture Competition (YPWLC) kelak.

``Saya akan melakukan lebih banyak kajian dalam memantapkan ilmu pengetahuan dalam inovasi yang dibentangkan dan belajar untuk mengenal pasti audien disamping cuba untuk menyesuaikan pembentangan dengan persekitaran yang bakal  saya hadapi.

``Saya perlu kenali kekuatan diri dan dalam masa yang sama mengenali potensi audien bagi memudahkan saya memberi pemahaman kepada mereka mengenai apa yang diperkatakan,’’ ujar beliau ketika diminta mengulas persiapan yang bakal dilakukan untuk berentap di  Brazil kelak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500, cenderamata dan sijil yang disampaikan oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Mineral, USM ,  Prof.Dr. Ahmad Fauzi Mohd Noor  di Hotel Equatorial, hari ini.

Dalam ulasan yang diberikan mengenai pertandingan tersebut, Dr.Ahmad gembira dengan komitmen semua pihak khususnya peserta yang disifatkan telah bersedia dengan secukupnya sebelum tampil membuat persembahan masing-masing.

YPLC diperkenalkan sebagai usaha untuk menggilap kebolehan anak-anak muda yang berusia bawah lingkungan 28 tahun dalam menyuarakan idea-idea bernas dalam bidang kejuruteraan yang disampaikan secara penuh kreatif dan berkeyakinan.

Ia turut berperanan sebagai platform untuk mengumpulkan mereka yang berbakat negara ini di bawah satu bumbung sekaligus menggalakkan perkongsian pandangan dan idea  dalam kalangan peserta.

Profesor Abdul  Latif Ahmad dalam ucapan perasmiannya pula berkata, penganjuran YPCL yang masuk edisi kelima ini, telah memberikan satu ruang dan insentif kepada para pelajar  yang mempunyai idea yang bagus disusuli persembahan pembentangan yang baik  dan meyakinkan.

``Program seumpama ini wajar diteruskan pada masa depan lantaran ianya bukan sahaja dapat memenuhi hasrat universiti, malahan turut menyahut seruan kerajaan terutamanya keperluan melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran nilai tambah selain daripada cemerlang akademik,’’ katanya.

Beliau turut berkata, kalah dan menang merupakan adat pertandingan dan adalah tidak wajar untuk menjadikannya sebagai kayu pengukur dalam penilaian peserta dalam YPCL kerana semua yang terlibat menjadi peserta  adalah terdiri daripada mereka yang terbaik.

``Pengalaman yang digarap menerusi pertandingan inilah yang perlu disemat dan dinilai sebagai panduan pada masa akan datang selain dapat mewujudkan jaringan dan persahabatan antara peserta dan pihak luar,’’ jelasnya.

Setiap peserta tidak pulang dengan tangan kosong apabila naib johan turut membawa pulang hadiah wang tunai RM300, tempat ketiga RM200, manakala tempat keempat hingga keenam pula membawa pulang wang tunai RM100 yang masing-masing diringi dengan sijil dan cenderamata dari USM.

Sumber: Laman Web Universiti Sains Malaysia



Oleh:
Mohd Hanif Ahmad
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

SIRI NOVELKU NOVELMU: WADAH LESTARIKAN PEMBACAAN NOVEL

PULAU PINANG, 4 Jul – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) menganjurkan program khas yang memberi cabang baru kepada konsep kelestarian iaitu projek melestarikan pembacaan novel di kalangan warga kampus USM.

Projek khas dengan kerjasama kafetaria Anjung Semarak itu dibuat bagi melestarikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat kampus dan ia akan dimulakan oleh kepimpinan tertinggi USM iaitu Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak pada hari Rabu, 20 Julai 2011, jam 3.00 petang di Anjung Semarak, USM Pulau Pinang.

Program yang julung kali diperkenalkan ini bertujuan memupuk minat warga kampus berkongsi pembacaan novel dengan orang lain melalui penceritaan semula dengan pelbaga cara yang kreatif dan mengadakan perbincangan novel secara mudah tetapi menarik.

Selain melestarikan pembacaan novel daripada pelbagai genre seperti horor, percintaan, misteri, sci-fi dan sebagainya, program ini turut berperanan bagi menggalakkan golongan tertentu khususnya golongan sains berkongsi pengalaman pembacaan novel kerana ia adalah satu aktiviti intelektual dan psikologikal.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi Prof. Sohaimi Abdul Aziz, Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, PPIK USM.

Garis panduan bagi menyertai program ini adalah penceritaan mengenai latar belakang novel, latar belakang pengarang, sinopsis, perkara menarik mengenai novel dan lain-lain yang dirasakan pembaca yang boleh dikongsi dengan umum.

Sumber: Laman Web Universiti Sains Malaysia




Oleh:
Mohd Hanif Ahmad
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Rabu, 20 Julai 2011

PTPTN: Pemohon perlu ada akaun SSPN

PUTRAJAYA 20 Julai — Pemohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dikenakan semula syarat perlu membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan simpanan minimum RM20 bermula tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarat itu dikenakan semula untuk menggalakkan budaya menabung di kalangan masyarakat sebagai persediaan untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kita menggalakkan semua peringkat umur menabung walaupun masih bayi. Proses membuka akaun juga kita sudah mudahkan. Kalau dulu 14 hari, hari ini mengambil masa sehari sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan seminar PTPTN bersama IPT, pelancaran semula SSPN dan penyerahan pembiayaan pendidikan daripada institusi kewangan kepada PTPTN di sini hari ini. - Bernama

Sumber : SINI.




Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

HANYA USM TANPA UPU

Dari UTUSAN MALAYSIA 20/7/2011


KUALA LUMPUR 19 Julai – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bercadang membenarkan mana-mana institut pengajian tinggi awam (IPTA) selain Universiti Sains Malaysia (USM) membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini hanya USM dibenarkan berbuat demikian memandangkan universiti terbabit telah pun mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

Katanya, kementerian juga belum menetapkan sebarang kriteria bagi melayakkan sesebuah universiti untuk memohon dikecualikan proses UPU tersebut.

“Setakat ini semua kemasukan universiti perlu melalui UPU. Pihak kementerian belum lagi membuat keputusan untuk membenarkan semua universiti berbuat demikian.

“Pengambilan pelajar seterusnya adalah pada September 2012. Ada setahun lagi, jadi tidak perlu terburu-buru untuk membuat keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Universiti Malaya (UM) semalam menjangkakan akan mengikuti langkah USM untuk membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui UPU.

UM kini sedang menunggu lampu hijau daripada kementerian berkenaan manakala USM pula telah memansuhkan penggunaan sistem UPU setelah mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

Bagaimanapun beberapa universiti awam lain seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganggap sistem UPU masih relevan.




Oleh:
Mohd Hanif Ahmad
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

PENGUMUMAN: Penggunaan Email Pelajar USM

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Makluman berikut adalah berkenaan penggunaan e-mel pelajar Universiti Sains Malaysia yang telah dipanjangkan daripada pihak Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) kepada Majlis Perwakilan Pelajar.

Setiap pelajar diberikan e-mel pelajar oleh PPKT. Namun begitu, kadar penggunaannya oleh pelajar amat mendukacitakan. Oleh hal yang demikian, penghantaran e-mel dalaman (misalnya daripada pihak USM kepada pelajar) telah mengakibatkan masalah kepada pihak PPKT. Pengumuman, pemberitahuan, dan yang seumpamanya berkemungkinan untuk tidak sampai kepada pelajar kerana kurangnya bilangan pelajar yang menyemak e-mel mereka. Oleh itu, PPKT memohon kepada semua pelajar agar memanfaatkan e-mel pelajar yang diberikan untuk kebaikan bersama.

Selain itu, para pelajar juga boleh memohon software Windows7 secara percuma daripada pihak PPKT dengan menghantar e-mel kepada msdnaa@usm.my. Sila nyatakan dalam permohonan tersebut nama penuh, e-mel pelajar dan nombor matrik anda. Kami di barisan MPP menggalakkan semua mahasiswa/i untuk  memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan oleh pihak Universiti.

Sebarang masalah atau pertanyaan berkaitan dengan e-mel pelajar, sila e-melkan kepada helpdesk@student.usm.my



Daripada:
Mohd. Hanif bin Ahmad dan Nurul Husna binti Omar
Exco Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11

Universiti Sains Malaysia




'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Ulasan Konvensyen Penggerak Pembangunan Pelajar USM 2011 dari Kaca Mata Seorang Mahasiswa

Seusai tamatnya program Konvensyen Penggerak Pembangunan Pelajar yang julung kali dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) pada hari ini, tiada kata yang mampu saya secara peribadi katakan kepada pihak pentadbiran universiti. Bukan bertujuan untuk membodek pihak-pihak tertentu tetapi saya berasa bertuah kerana diberi peluang untuk duduk bersama dan membincangkan banyak perkara berkaitan pembangunan pelajar bersama pegawai-pegawai tertinggi dan ilmuan-ilmuan akademik universiti. Bukan sahaja ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/11 sahaja yang dijemput, malahan wakil-wakil dari barisan kepimpinan mahasiswa seperti persatuan dan Majlis Penghuni Desasiswa turut hadir ke program ini.


Dalam ucaptama Timbalan Naib Canselor (HEPP), Y.Bhg Prof. Dato’ Omar Osman, beliau menyentuh mengenai status terkini pencapaian APEX USM. Salah satunya adalah USM masih belum dikenali di mata dunia. Pada pendapat saya, penjenamaan USM sangat diperlukan kerana seperti yang kita tahu, banyak anugerah yang dimenangi oleh mahasiswa-mahasiswa USM sama ada di peringkat nasional dan global. Seharusnya, pengiktirafan ini mampu menjadi  penanda aras dalam mempromosikan jenama dan produk USM yang mungkin boleh dikomersialkan dengan lebih meluas. Bagi sebahagian orang, mungkin populariti itu tidak penting tapi tiada salahnya jika jenama dan produk USM itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Terbaru ialah produk berkonsepkan dari sisa ke emas yang dihasilkan oleh trio penyelidik muda dari P.Pengajian Kimia yang mengungguli Anugerah Penyelidikan Terbaik NRIC 2011. Tidakkah kita berbangga dengan pencapaian ini?

Pada hari pertama Konvensyen ini juga terdapat slot daripada Prof. Datuk Emiritius Dr. Shad Saleem Faruqi yang merupakan Penasihat Undang-undang USM. Slot ini sangat membantu terutama sekali kepada mahasiswa sendiri dalam memahami pindaan terbaru dalam AUKU, konsep kebebasan bersuara, demokrasi mahasiswa dan lain-lain.

Selain itu, lebih mengkagumkan apabila tiga orang wakil mahasiswa diberi peluang untuk membuat pembentangan dalam slot Bersama Pemimpin Pelajar. Saudara Idzuan (YDP MPPUSM 2010/11) diberi mandat untuk membentangkan topik Transformasi Mahasiswa, saudara Wafi (mantan YDP MPPUSM 2009/10) membentangkan topik Ketidakbergantungan Pelajar dan saudara Shafiq (Speaker DPP/mantan YDP MPPUSM 2008/09) telah membentangkan tajuk Kebebasan Bersuara. Secara peribadi, saya dapat melihat ketrampilan dan kredibiliti pemimpin-pemimpin mahasiswa ini ketika mereka membentangkan tajuk masing-masing. Skil-skil pengucapan awam dan cara mereka menjawab setiap persoalan dan kritikan membina daripada pegawai universiti wajar kita contohi.

Selanjutnya, antara slot yg diadakan semasa Konvensyen ini adalah; “Pembangunan Pengurusan Pelajar Ijazah Lanjutan – Cabaran Kepada Universiti’ oleh Abdul Hamid Majid, Timbalan Pendaftar, Institut Pengajian Siswazah, “Kesejahteraan Pelajar dan Isu-Isu Semasa” oleh Azmi Hassan, Ketua Sektor Kesejahteraan BHEPP dan Prof. Madya Mohamad Hashim Othman, “Transformasi Desasiswa” oleh Dr. Nazarudin Zainun, Pengerusi Majlis Pengawa-Pengawa, “Idea-Idea Terkini” oleh Prof. Haslan Abu Hassan, Pengarah Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga serta “Keseimbangan Akademik & Kokurikulum” oleh Dato’ Prof. Ishak Hj. Ismail, Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan USM.

Konklusinya, saya merasakan wajar Konvensyen seperti ini diteruskan dan menjadi konvensyen tahunan antara pihak pentadbiran universiti dan mahasiswa USM. Peluang platform seperti ini saya percaya belum pernah wujud di mana-mana IPT Malaysia apabila pegawai tertinggi universiti dan mahasiswa boleh duduk berbincang bersama-sama demi memastikan objektif transformasi universiti dan mahasiswa seperti yang termaktub dalam Dasar Pembangunan Siswa (DPS) dapat dicapai. Penghakupayaan dan pengukuhan dalam transformasi ini diharap dapat menambahbaik sistem yang sedia ada.

Justeru, saya menyarankan kepada rakan-rakan mahasiswa yang lain supaya tidak cepat melatah sekiranya menghadapi masalah dengan pihak pengurusan universiti. Ketahuilah bahawa mereka juga bertungkus-lumus dalam memastikan kecemerlangan universiti untuk melahirkan mahasiswa USM yang berkualiti dan mampu berdaya saing sejurus tamat pengajian. Saya mewakili barisan MPPUSM 2010/11 juga ingin menyatakan bahawa sebagai perantara antara pihak pengurusan universiti dan mahasiswa, kami akan cuba sebaik mungkin supaya hal ehwal kebajikan mahasiswa sentiasa dalam keutamaan kami. Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga kepada BHEPP atas peluang yang diberikan ini.





Artikel Oleh:
Wan Zahidah Wan Sulaiman
Exco Pembangunan Mahasiswa dan Pengantarabangsaan
Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/11

Selasa, 19 Julai 2011

PELAJAR DALAM LEMBAGA GOVERNOR USM?

PULAU PINANG, 18 Julai 2011: Perlembagaan baru Universiti Sains Malaysia (USM) yang diwartakan pada 1 Julai yang lalu memperlihatkan kemungkinan penyertaan wakil pelajar di dalam Lembaga Governor (dahulu dikenali sebagai Lembaga Pengarah Universiti).

Menurut Prof. Dato’ Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM, Perlembagaan baru yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2010 ini membuka ruang yang banyak kepada penyertaan pelajar di dalam setiap cabang pengurusan universiti termasuklah pada tahap tertinggi ini.

“Buat pertama kalinya, hal berkenaan Pembangunan pelajar turut dimasukkan dan kita melihat perkara ini sebagai suatu perkembangan yang amat positif. Ini termasuklah perkara-perkara yang berhubung rapat dengan Parlimen Mahasiswa yang turut disebut di dalam Perlembagaan ini.

“Semua ini bagi saya adalah pengiktirafan besar kepada pelajar dan pihak Universiti sememangnya mahu agar wujud penglibatan terus pelajar di dalam proses pengurusan Universiti ini. Saya fikir pelajar harus bijak memanafaatkan peluang ini dan ia harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab,” kata beliau ketika merasmikan Konvensyen Penggerak Pembangunan pelajar USM 2011 di Dewan Pembangunan Pelajar, Kompleks Cahaya Siswa hari ini.

Ketika pembentangan kertas kerja bersama oleh Nazru Hj. Ismail, Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM dan Khairul Anuar Che Azmi, Timbalan Penasihat Undang-undang Kanan, Pejabat Perundangan USM, pelajar kini diperlihatkan tidak kurang daripada enam peluang penyertaan di dalam beberapa struktur pimpinan tertinggi di USM.
Walau tidak disebut secara langsung, antara ruang yang memungkinkan penglibatan pelajar yang disebut termasuklah Lembaga Governor Universiti, Jawatankuasa Kebajikan pelajar, Senat Universiti, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Jawatankuasa-Jawatankuasa Pusat Pengajian dan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.

“Namun, lantikan-lantikan ini (yang memungkinkan penglibatan pelajar) adalah tertakluk kepada lantikan oleh samada Menteri Pengajian Tinggi, Naib Canselor, Senat atau Majlis Akademik bagi jawatankuasa berkenaan,” kata Nazru ketika sesi pembentangan beliau petang tadi.

Konvensyen Penggerak Pembangunan pelajar USM 2011 melibatkan penyertaan lebih 250 tenaga penggerak pelbagai program BHEPP USM yang terdiri daripada staf dan pelajar di universiti ini.
Program dua hari ini yang bermula hari ini adalah bertujuan untuk membentangkan pelbagai perkembangan terkini usaha pembangunan pelajar di USM serta untuk mendapatkan maklumbalas dan cadangan penambahbaikan di peringkat dasar.

Konvensyen ini turut memperlihatkan pembentangan kertas kerja bertajuk “Kebebasan Pelajar Mengikut AUKU’ oleh Prof. Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi, Penasihat Undang-undang USM, “Pembangunan Pengurusan Pelajar Ijazah Lanjutan – Cabaran Kepada Universiti’ oleh Abdul Hamid Majid, Timbalan Pendaftar, Institut Pengajian Siswazah, “Kesejahteraan Pelajar dan Isu-Isu Semasa” oleh Azmi Hassan, Ketua Sektor Kesejahteraan BHEPP dan Prof. Madya Mohamad Hashim Othman, “Transformasi Desasiswa” oleh Dr. Nazarudin Zainun, Pengerusi Majlis Pengawa-Pengawa, “Idea-Idea Terkini” oleh Prof. Haslan Abu Hassan, Pengarah Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga serta “Keseimbangan Akademik & Kokurikulum” oleh Dato’ Prof. Ishak Hj. Ismail, Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan USM.

Sumber daripada: SINI.




Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'